PUTRAJAYA, 22 Februari – Jemaah Menteri hari ini menghadiri Permukiman Kerajaan MADANI Tahun 2025, sebuah sesi perbincangan strategik selama dua hari bagi memastikan kesinambungan perancangan negara terus bergerak lancar demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, platform ini memberi ruang kepada sinergi dalam kalangan Jemaah Menteri untuk mengemukakan idea baharu, menambah baik dasar, serta merangka inisiatif lebih strategik demi kepentingan negara.
“Situasi geopolitik dan perkembangan teknologi yang pesat menuntut kerajaan untuk bergerak pantas dan melakukan perubahan agar kekal relevan serta berfungsi dengan baik kepada seluruh rakyat,” katanya dalam amanat ringkas sempena permukiman tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan MADANI perlu bersikap terbuka dalam menerima kritikan serta berusaha memperbaiki sebarang kelemahan. Kesatuan dan kebersamaan dalam pentadbiran juga menjadi asas penting dalam memastikan setiap suara rakyat didengar dan diangkat ke tahap yang sewajarnya.