KUALA LUMPUR – Sistem kesihatan negara berdepan risiko bebanan tinggi kecuali lebih ramai orang awam bertindak mengambil dos penggalak vaksin Covid-19,” demikian amaran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presidennya, Dr Koh Kar Chai berkata, berdasarkan jumlah jangkitan tinggi membabitkan varian Omicron, orang awam dinasihatkan segera mengambil dos penggalak yang tersedia.

“Mengambil kira banyak kes ketika ini, sama ada yang mengalami simptom sederhana atau tanpa simptom, masih ada kes mengalami simptom teruk atau ‘long Covid’ walaupun selepas divaksin penuh. Jumlah kes sedemikian mampu membebankan sistem kesihatan negara.

“Jadi adalah terbaik untuk mendapatkan perlindungan maksimum menerusi suntikan dos penggalak. Jangan biarkan diri anda termasuk dalam jumlah jangkitan harian membabitkan kes jangkitan teruk atau kematian,” katanya.

Menurut Kar Chai, kumpulan warga emas termasuk sesiapa sahaja yang mempunyai komorbiditi berdepan risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan teruk Covid-19.

“Kerajaan sudah menyediakan pilihan jenis vaksin, antaranya secara meluas membabitkan ‘Comirnaty’ oleh Pfizer, yang mudah didapati. Pilihan vaksin selain itu adalah ‘Coronavac’ oleh Sinovac, yang juga boleh didapati, namun bukan di semua pusat pemberian vaksin.

“Bagaimanapun, vaksin terbaik adalah yang berada dalam tangan anda,” katanya.