KUALA LUMPUR: Penyanyi, Kaka Azraff, 33, selamat melahirkan cahaya mata kedua iaitu bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di sini, pada jam 12.05 tengah malam tadi.
Kaka atau nama sebenar, Nor Atiqa Noor Azraff, 33, berkongsi berita gembira itu menerusi media sosial dan meluahkan syukur proses bersalin lancar.

“Syukur alhamdulillah. Saya secara rasminya adalah ibu kepada dua anak,” katanya sambil meletakkan angka cantik tarikh kelahiran putera tersayang iaitu 22.2.22 pada Tweet yang dilayangkan.
Kaka turut meluahkan penghargaan kepada suami, Adam Azriff yang banyak membantu sepanjang proses kelahiran permata hati mereka itu.
“Kami berjaya! Alhamdulillah syukur. Terima kasih kerana menjadikan sistem sokongan, penghibur, pemberi motivasi dan doktor separuh masa terbaik sepanjang perjalanan ini.
“Saya tak tahu apa jadi tanpa awak. Saya cintakan awak bapa kepada dua anak,” katanya.
Khabar gembira itu turut dikongsi Adam menerusi Instagram Story (IGs) diiringi foto memaparkan tag pada pergelangan tangan si kecil.
Adam memberitahu, isteri dan anak masing-masing dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang mendoakan,” katanya.
Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018. Hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan cahaya mata lelaki, Aslan yang mencecah usia dua tahun.
Berita Harian