NEGERI Kedah, negeri yang terkenal sebagai Jelapang Padi, bukan sahaja kaya dengan hasil pertanian, tetapi juga telah melahirkan ramai tokoh dan artis yang mewarnai industri seni dan budaya tanah air. Walaupun jumlah mereka tidak sebanyak negeri lain, sumbangan anak Kedah tetap signifikan namun, ramai antara mereka menghadapi cabaran untuk disatukan dan diberi pengiktirafan sewajarnya.
Mengambil inisiatif itu, Persatuan Rantauan Warisan Kedah (Waris Kedah) ditubuhkan setahun lalu sebagai platform strategik untuk menghimpunkan anak-anak Kedah di perantauan. Menurut Presiden Waris Kedah, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, organisasi ini bertujuan menjadi payung yang menyatukan rakyat Kedah di seluruh negara, termasuk golongan artis, ahli sukan, usahawan, dan tokoh masyarakat.
“Salah satu misi utama Waris Kedah ialah memastikan anak-anak watan tetap berhubung dan memberi sumbangan balik kepada negeri asal. Kami mahu memperkukuh jaringan sosial, perniagaan, dan budaya,” ujar Zaienal dalam sidang media pengumuman program Kedah Nite 2026 baru-baru ini di Bangunan Matrade, Kuala Lumpur.
Program sulung ini, yang dijadualkan pada 14 Februari 2026, bukan sekadar majlis makan malam. Ia dirancang sebagai platform jaringan perniagaan, pertukaran idea, dan kolaborasi strategik dalam kalangan anak Kedah. Program ini juga bakal menjadi wadah pengiktirafan kepada tokoh-tokoh yang mengharumkan nama Kedah di peringkat nasional dan antarabangsa.
Dengan tema ‘black tie’ dan glamor’, Kedah Nite 2026 akan dihoskan oleh Maria Tunku Sabri dan dihiburkan oleh artis serta pemuzik antarabangsa di bawah naungan Kumpulan Weststar. Acara ini turut dijangka diserikan dengan kehadiran kerabat diraja Kedah dan jemputan kenamaan lain.
Zaienal menekankan bahawa, walaupun acara ini bersifat eksklusif, ia terbuka kepada semua anak Kedah di perantauan. “Siapa sahaja boleh hadir, termasuk selebriti. Konsepnya ‘first come, first serve’ dengan RSVP sebelum 31 Januari,” katanya.
Lebih daripada sekadar sosial dan hiburan, Kedah Nite 2026 merupakan projek jangka panjang untuk memperkasa identiti dan warisan Kedah. Zaienal menegaskan bahawa acara ini menjadi platform strategik untuk pertukaran idea, pelaburan, dan inisiatif ekonomi sosial, selari dengan titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, yang mahu anak-anak Kedah kembali menyumbang kepada pembangunan negeri asal.
“Dengan adanya jaringan ini, kami berharap anak Kedah yang berjaya di pelbagai bidang dapat memberi inspirasi dan menyumbang kepada ekonomi, pendidikan, dan budaya Kedah,” katanya.
Tokoh-tokoh seni yang hadir pada sidang media turut berkongsi pengalaman mereka sebagai anak Kedah di perantauan.
Maria Tunku Sabri menekankan pentingnya merapatkan hubungan sesama anak Kedah. “Kami ambil peluang ini untuk meraikan dan meramaikan anak seni Kedah. Saya sentiasa bangga bila sebut IC saya 02,” katanya sambil tersenyum.
Zulkifli Ismail, pelakon dan kreator kandungan, mengimbas kembali pengalaman mempopularkan loghat Kedah melalui media sosial. “Depa boleh bawa saya keluar daripada Kedah, tapi depa tak boleh bawa Kedah keluar daripada saya,” katanya penuh semangat.
Bagi penyanyi Ezad Lazim, pertemuan ini juga membuka peluang anak Kedah di perantauan untuk mengakui identiti sebenar mereka dan meningkatkan kesedaran tentang asal-usul masing-masing.
Asheed (Def-Gab) pula menyifatkan Waris Kedah sebagai satu inisiatif yang telah lama dinantikan. “Umur saya dah 53 tahun baru ada benda macam ini. Negeri lain dah lama buat, tapi Kedah baru mula. Ini sangat bermakna,” katanya.
Kedah Nite 2026 bukan sekadar acara tahunan; ia adalah manifestasi komitmen anak Kedah untuk kembali berbakti dan memupuk identiti bersama. Dengan jaringan yang mantap, kolaborasi ekonomi, dan pengiktirafan tokoh-tokoh berprestij, Waris Kedah berpotensi menjadi model perkongsian sosial dan ekonomi negeri yang unik.
Acara ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, tetapi juga memperkukuh warisan Kedah dalam bentuk identiti, jaringan, dan impak sosial-ekonomi sekaligus menegaskan bahawa anak Kedah di perantauan tetap menjadi duta dan aset kepada negeri Jelapang Padi.



