GOMBAK – Dua juta penganut agama Hindu dan pengunjung dijangka membanjiri Batu Caves sempena perayaan Thaipusam yang bakal disambut pada Khamis ini.
Pemegang Amanah Kuil Sri Mahamariamman Devesthanam, Datuk Sivakumar Nadarajah berkata, pada Sabtu dan Ahad lalu sahaja, kira-kira 30,000 hingga 40,000 berkunjung termasuk mereka yang mengambil kavadi.
“Pada tahun lalu, sebanyak 1.6 juta penganut dan pengunjung termasuk pelancong asing berkunjung. Tahun ini kita jangkakan jumlah ini meningkat kepada 2 juta,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui, pada Ahad.
Sivakumar menambah, Thaipusam menjadi tumpuan pelancong asing terutamanya dari Korea, Thailand dan China yang mahu melihat sendiri keunikkan sambutan berwarna-warni itu.
Katanya, Menteri Digital, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dijangka menghadiri sambutan itu, kali ini.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu bagi melancarkan pergerakan sambutan itu, kira-kira 300 sukarelawan akan ditugaskan di perkarangan kuil bermula Selasa hingga Khamis.
Sivakumar menambah, pihak pengurusan juga menyediakan sebuah dewan khas berhampiran pintu dua dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan kecemasan.
Katanya, tiga pondok KKM dan ambulans juga disediakan bagi tujuan itu.
Petugas perubatan juga katanya akan berada di sepanjang tangga selain sebuah reruai dibuka di puncak kuil itu.
Untuk sebarang kecemasan dan perubatan orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline 019-985 9900. – Awani