Bienz memulakan fasa baharu perjalanannya dengan perasmian cawangan terbaharu di Putrajaya, sekali gus menjadi pencapaian bermakna menjelang ulang tahun pertama jenama makanan dan minuman tempatan itu. Terletak di L-G-01, Ground Floor, Block L, IOI Conezion, Persiaran IRC 3, IOI Resort City 62502 Putrajaya, cawangan baharu ini membuka ruang kepada lebih ramai pelanggan di sekitar Putrajaya dan Cyberjaya untuk menikmati menu istimewa Bienz.
Pembukaan outlet ini bukan sekadar penambahan lokasi, sebaliknya mencerminkan keyakinan pengasas terhadap penerimaan pelanggan sejak hari pertama operasi. Dalam tempoh setahun, Bienz yang diasaskan oleh tiga beradik bersama bapa mereka berjaya membina identiti tersendiri dalam industri F&B yang terkenal mencabar dan kompetitif.

Sejak awal penubuhan, Bienz memilih untuk menekankan kualiti dan konsistensi. Pendekatan itu jelas menerusi menu yang ditawarkan, dengan pizza wagyu menjadi antara hidangan paling mendapat sambutan. Menggunakan daging wagyu premium dari Jepun serta doh sourdough buatan sendiri, setiap hidangan dihasilkan dengan perhatian terhadap perincian. Sekitar 300 adunan sourdough disediakan setiap hari bagi memastikan rasa dan tekstur kekal konsisten.
Selain pizza, creamy buttermilk pasta turut menjadi pilihan pelanggan yang menggemari hidangan berkrim dan seimbang. Menu ini sesuai untuk semua peringkat umur dan sering menjadi pesanan tetap pelanggan yang datang bersama keluarga. Sebagai pelengkap, tiramisu versi mesra kanak-kanak diperkenalkan dengan formulasi tanpa telur dan rasa kopi yang minimum, menjadikannya pencuci mulut yang ringan dan mudah dinikmati.
Bagi memastikan mutu makanan sentiasa terjaga di setiap cawangan, Bienz menubuhkan dapur pusat di Kuala Lumpur yang berfungsi sebagai pusat kawalan penyediaan dan penghantaran makanan. Cawangan pertama mereka di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, melibatkan pelaburan sekitar RM400,000 merangkumi ubah suai premis, kelengkapan dapur dan rekaan dalaman, satu langkah penting dalam membina asas perniagaan yang kukuh.
Walaupun kebanyakan perniagaan F&B mengambil masa antara enam hingga 12 bulan untuk mencapai kestabilan, Bienz berjaya mencatat keuntungan sejak awal operasi. Namun perjalanan ini bukan tanpa cabaran, khususnya dalam aspek tenaga kerja. Bagi memastikan operasi berjalan lancar, pengasas sendiri turun padang membantu urusan harian, satu pendekatan yang mencerminkan semangat kerja berpasukan dalam keluarga.
Dari segi operasi, Bienz menawarkan perkhidmatan makan di premis serta tempahan melalui Grab dan penghantaran Lalamove. Proses pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga sedang berjalan, dengan jaminan bahawa semua bahan mentah yang digunakan adalah halal dan kebersihan sentiasa menjadi keutamaan.
Menjelang ulang tahun pertama pada 20 September ini, Bienz turut merangka perancangan jangka panjang dengan sasaran membuka sehingga 10 cawangan dalam tempoh lima tahun. Fokus awal adalah di Lembah Klang sebelum berkembang ke negeri lain seperti Perak, Johor, Melaka dan Kuantan, manakala pengembangan ke Sabah dan Sarawak masih dalam penilaian dari segi logistik.
Bagi Pengasas Bersama Bienz, Raffil Jamir, kejayaan sebenar bukan sekadar pertumbuhan fizikal perniagaan, tetapi keupayaan untuk terus berani mencuba dan konsisten dalam kualiti. “Jangan takut untuk bermula. Jatuh bangun itu perkara biasa, yang penting kita teruskan usaha,” katanya.
Dengan perasmian cawangan Putrajaya sebagai langkah terbaharu, Bienz kini melangkah ke tahun kedua dengan keyakinan untuk terus berkembang sebagai jenama F&B tempatan yang dibina atas nilai keluarga, kerja keras dan kejujuran dalam setiap hidangan.



