Mahkamah perintah Shafee bayar cukai tunggakan lebih RM5.5 juta kepada LHDN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah lebih RM5.5 juta kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perintah itu susulan keputusan mahkamah sama pada 15 Disember lalu yang membenarkan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman terus dalam samannya.

Dalam prosiding hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan demikian selepas Peguam Kanan Hasil Norhisham Ahmad memberitahu mahkamah bahawa jumlah akhir yang perlu dibayar oleh Shafee ialah RM5,529,577.70.

“Pihak kami juga memohon kos RM10,000,” kata Norhisham yang turut dibantu Peguam Kanan Hasil Muhammad Faqrol Syazreen Mohd Ghause.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Farhan Muhammmad Shafee, yang mewakili bapanya selaku defendan memohon kos RM5,000.

Roz Mawar kemudian membenarkan kos RM10,000 kerana jumlah tersebut adalah munasabah.

Sementara itu, Farhan memberitahu mahkamah pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guam sama ada akan merayu terhadap keputusan hari ini.

Pada 15 Dis lepas, mahkamah sama membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadap peguam itu, lapor Malaysiakini.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Pada 28 Sept 2021, LHDN memohon agar samannya terhadap Shafee, yang difailkan pada 6 Mei 2021 diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan defendan gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh ditetapkan.

LHDN mendakwa peguam itu gagal membayar jumlah cukai pendapatan yang terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan ke atas jumlah yang dikenakan.

Pada 28 Okt 2022, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Shafee daripada dua pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN.

Pihak pendakwaan yang merayu terhadap keputusan mahkamah itu bagaimanapun menarik balik rayuan berkenaan pada 5 Dis lepas.

Ini menyebabkan pembebasan Shafee dalam keempat-empat kes itu kekal.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat