KUALA LUMPUR – Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Bangunan berketinggian 274 meter yang mempunyai 60 tingkat itu disita mengikut Akta SPRM 2009.
Berdasarkan notis disiarkan di sebuah akhbar, perintah sita harta tak alih itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib kepada Pendaftar Hak Milik, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan.
Arahan itu turut melarang segala urusan di Menara Ilham atau disebut sebagai harta tak alih dalam notis berkenaan.
Ia dibuat mengikut Seksyen 38(1) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah.
“Bahawa terdapat harta tak alih, seperti dalam Jadual, adalah hal perkara suatu kesalahan di bawah Akta SPRM 2009.
“Dengan ini, mengeluarkan notis kepada kamu supaya menyita harta tak alih seperti dalam jadual tersebut; dan melarang segala urusan tentang harta tak alih itu.
“Kamu hendaklah serta-merta mencatatkan terma notis ini pada dokumen hak milik yang berkenaan dengan harta tak alih itu dalam Daftar di pejabat kamu,” menurut notis itu.
Menara Ilham yang terletak di tengah ibu kota difahamkan mengandungi hotel empat bintang, pejabat rasmi, galeri, medan selera, premis perniagaan serta apartmen.
Ia siap dibina pada 2015, juga dikenali sebagai Menara IB singkatan kepada Ilham Baru. – HMetro