KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan seluruh negara untuk rakyat mendapatkan vaksin Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun berkata, KKM ingin menegaskan bahawa pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela.
“KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini, terdapat 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan seluruh negara.
“Sekiranya terdapat pertambahan atau perubahan kepada bilangan PPV, KKM akan mengemaskini maklumat tersebut dari semasa ke semasa.
“Untuk mendapatkan vaksin Covid-19, orang ramai boleh mendapatkan senarai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di dalam aplikasi MySejahtera.
Dr Dzulkefly memaklumkan, bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, orang ramai boleh hadir ke PPV yang tersenarai secara walk-in atau membuat janji temu menggunakan aplikasi MySejahtera sebagaimana tatacara tempahan yang dibuat semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sebelum ini.
“KKM ingin menegaskan bahawa pengambilan vaksin Covid-19 pada masa ini adalah secara sukarela. KKM menggalakkan pengambilan vaksin Covid-19 terutama kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.
“Vaksin Covid-19 yang tersedia di negara ini berkesan untuk melindungi daripada komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti,” katanya.
KKM menyarankan setiap warga Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab untuk melindungi diri daripada jangkitan dan tidak menularkan COVID-19 kepada orang lain dengan mengamalkan 3W (amalkan Wash, Wear dan Warn) dan mengelakkan 3S (elakkan kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak yang dekat).