Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang. Foto: LTAT

KUALA LUMPUR – Operasi Murni (Op Murni) dalam misi menyelamatkan mangsa banjir membabitkan seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang digerakkan di negeri terjejas.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, anggota dan aset ATM digerakkan Tentera Darat yang terbabit dalam Op Murni.

Beliau berkata, ketika ini Op Murni memberi tumpuan kepada di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

“Op Murni ini diaturgerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, pegawai perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Aset ATM seperti trak, pacuan empat roda, bot tempur serta aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bersedia sekiranya diperlukan.

“ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk diaturgerakkan ke lokasi terjejas di samping membantu pihak berkuasa dan agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya memetik Bernama.

Affendi berkata, ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa dalam menyelamatkan mangsa banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.

Setakat malam tadi, bilangan mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan lebih 61,000 orang dengan Pahang dan Selangor mencatat jumlah paling tinggi.

Kredit fiti