Sabah letak kepentingan tinggi potensi pelancongan luar bandar

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meletakkan kepentingan tinggi potensi pelancongan luar bandar apabila mencadangkan peruntukan sebanyak RM17.2 juta untuk pembangunannya dalam Belanjawan 2021 negeri, kata Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai.

“Cadangan peruntukan besar itu, tidak pernah berlaku sebelum ini, yang membuktikan terdapat potensi besar dalam pelancongan luar bandar terutama pelancongan berasaskan komuniti. Permata pelancongan berada di kawasan pedalaman hanya menunggu masa untuk dimajukan,” katanya dalam kenyataan selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Penginapan Kebudayaan Walai Tobilung di Kota Marudu, hari ini.

Joniston berkata pelancongan luar bandar berasaskan komuniti di Sabah telah berjaya sehingga beberapa negeri telah menyatakan minat untuk mencontohi model perniagaannya dan beliau percaya Walai Tobilung boleh menjadi model bagi kawasan lain menceburi bidang kebudayaan dan ekopelancongan.

Antara tarikan utama di Walai Tobilung adalah tarian trandisional dan persembahan muzik, perkahwinan olok-olok masyarakat Tobilung dan pameran artifak tradisional serta turut menawarkan ecopelancongan dengan menganjurkan aktiviti mendaki dan rentas hutan.

“Warisan budaya kita adalah satu daripada keunikan negeri kita. Ia menjadi tarikan kepada ramai pelancong asing kerana kita mempunyai begitu banyak etnik dan sub etnik tetapi mampu hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” kata Joniston yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah.

Beliau berkata komitmen kerajaan negeri untuk membangunkan pelancongan luar bandar dicerminkan melalui penubuhan jawatankuasa bersama antara Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk menangani isu-isu yang menjejaskan sektor pelancongan dengan berkesan.

Dalam usaha untuk mempromosikan dengan berkesan agropelancongan, Joniston juga mencadangkan agar Kementerian Pertanian turut dimasukkan dalam jawatankuasa bersama itu.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat