KUALA LUMPUR – Kebakaran 20 gerai dan gimnasium di Uptown Kota Damansara malam tadi berpunca daripada masalah pendawaian elektrik.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, berdasarkan keterangan saksi, terdapat percikan api berhampiran kotak agihan elektrik di kawasan itu.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pegawai forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya pada Selasa.
Media semalam melaporkan kebakaran itu menyebabkan ramai peniaga kerugian apabila 20 lot gerai dan gimnasium musnah.
Pasukan bomba menerima maklumat kebakaran pada 8.30 malam, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sementara itu, Ketua JBPM Zon 1 Shah Alam, Ahmad Zaidi Safuan berkata, jumlah kerugian keseluruhan akibat tragedi itu masih lagi dalam siasatan.
“Kita masih cuba menghubungi pemilik khemah terbabit namun, difahamkan aktiviti perniagaan di kawasan itu dijalankan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan pemilik tanah,” katanya.