KUALA LUMPUR – Harimau Malaya menamatkan badi kekalahan di bumi Taiwan apabila menewaskan skuad tuan rumah 1-0 pada aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Perbandaran Taiwan, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan anak buah Kim Pan Gon melakar kemenangan berturut-turut selepas menewaskan Kyrgyzstan 4-3, Khamis lalu sekali gus naik ke tangga teratas Kumpulan D dengan mengumpul enam mata.
Kedudukan itu bagaimanapun mungkin berubah sekiranya Oman berjaya mengalahkan Kyrgyzstan dalam aksi di Stadium Omurzakov, jam 10 malam ini.
Turun dengan misi menghapuskan badi kekalahan sejak tahun 2000 di Taipei, percubaan terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-40 menerusi rembatan voli daripada Stuart Wilkin, namun berjaya diselamatkan penjaga gol Taiwan, Pan Wen Chieh.
Harimau Malaya yang menduduki ranking ke-137 dunia sekali lagi berdepan kekecewaan apabila percubaan Faisal Halim pada minit ke-43 pula sekadar singgah di tiang gol selepas menerima umpanan daripada Arif Aiman Hanapi.
Buntu mencipta jaringan selepas memperoleh deretan peluang, tindakan Pan Gon membawa masuk Darren Lok dan Endrick Dos Santos pada minit ke-62 ternyata membuahkan hasil.
Penyerang Sabah itu berjaya membuka tirai jaringan Harimau Malaya, 10 minit kemudian selepas melakukan tindakan susulan apabila rembatan Dos Santos di tampan Wen Chieh.
Lebih manis apabila jaringan itu menjadi gol penting buat Harimau Malaya untuk meneruskan kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen kelayakan kali ini. – BH