UMNO Kangar kecam rakaman audio didakwa kaitkan Menteri Besar Perlis, anggap penghinaan terhadap Institusi Raja

KANGAR, — UMNO Bahagian Kangar mengecam keras penularan satu rakaman audio yang didakwa mengandungi ucapan mengaitkan YAB Menteri Besar Perlis dengan kenyataan yang menyentuh kredibiliti serta kewibawaan Institusi Raja Negeri Perlis.

Dalam kenyataan medianya hari ini, UMNO Kangar menyifatkan perkara itu sebagai isu amat serius kerana melibatkan kedudukan Tuanku Raja Perlis sebagai ketua agama Islam dan lambang perpaduan rakyat negeri ini.

“Sekiranya hal ini benar, ia merupakan satu pelanggaran prinsip kesetiaan yang amat serius serta menyinggung maruah negeri dan rakyat,” tegas kenyataan itu.

Bahagian itu turut menegaskan bahawa setiap pemimpin negeri wajib menjunjung tinggi kedaulatan Raja Perlis dan apa-apa bentuk tindakan memperlekehkan atau menyentuh kedudukan Baginda Tuanku secara terbuka adalah tindakan biadab yang bertentangan dengan nilai Islam, adat Melayu serta perlembagaan negeri.”

UMNO Kangar juga menolak sebarang cubaan menjadikan isu ini sebagai perebutan kuasa dalam parti Perikatan Nasional (PN) di peringkat negeri.

Sebaliknya, mereka menegaskan bahawa perkara yang menyentuh Institusi Raja mesti dipandang dengan penuh keseriusan dan disiasat secara menyeluruh.

“UMNO Kangar memandangnya dengan penuh serius dan akan berdiri teguh mempertahankan kemuliaan Baginda Tuanku,” katanya lagi.

Bahagian itu turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan telus bagi menentukan ketulenan rakaman berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya tanpa kompromi.

Selain itu, UMNO Kangar menolak “budaya politik kotor, beremosi dan mencemarkan adab” yang boleh menimbulkan kebencian rakyat serta menyeru rakyat Perlis agar kekal beradab dan tidak terpengaruh dengan provokasi politik yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.

Kenyataan itu turut menegaskan pendirian bahagian untuk terus setia kepada Institusi Raja, mempertahankan adab kepimpinan berteraskan Islam serta menjunjung undang-undang tubuh negeri Perlis dan Perlembagaan Persekutuan.

“Setia kepada Raja, Beradab dalam Politik, #BersamaBinaSemula,” ujar kenyataan yang ditandatangani Setiausaha UMNO Bahagian Kangar pada 19 Oktober 2025 itu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat