Naikkan had umur 16 tahun guna daftar media sosial ‘benteng awal’ lindungi kanak-kanak – Dr Fauziah

PAKAR Psikologi Kaunseling, Fakulti Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad bersetuju dan menyokong cadangan Kabinet yang mencadangkan untuk menaikkan had umur pendaftaran akaun media sosial kepada 16 tahun.

Menurut Fauziah, cadangan ini relevan dan sesuai dalam konteks semasa kerana kanak-kanak pada usia bawah 16 tahun masih dalam peringkat perkembangan emosi dan kognitif yang belum stabil sepenuhnya.

Katanya, golongan kanak-kanak bawah 16 tahun ini mudah terpengaruh dengan maklumat sensasi, buli siber, eksploitasi seksual dan gangguan imej kendiri yang sering berlaku di platform media sosial.

“Langkah menaikkan had umur boleh menjadi “benteng awal” untuk melindungi mereka daripada pendedahan terlalu awal kepada dunia digital yang tidak ditapis,” katanya kepada SuaraTV pada Selasa.

Fauziah berkata, sekatan had umur ini berupaya mengurangkan masalah sosial.

Jelas beliau langkah ini dapat mengurangkan risiko buli siber, penyebaran maklumat palsu dan pendedahan kepada kandungan berbahaya.

“Melambatkan kematangan digital secara tidak sihat, di mana ramai remaja terlalu bergantung kepada validasi dalam talian.

“Membantu kanak-kanak memberi fokus kepada perkembangan sosial dunia sebenar—hubungan keluarga, rakan sebaya, aktiviti kokurikulum dan pembelajaran.

“Dengan kata lain, langkah ini boleh menyumbang kepada pengurangan masalah sosial, walaupun ia bukan satu-satunya penyelesaian,” ujar Fauziah.

Pun begitu Fauziah mengakui tahap kepatuhan kepada saranan ini merupakan cabaran dan memerlukan strategi bersepadu,

Tegas beliau, memastikan kepatuhan bukan sesuatu yang mudah kerana ramai kanak-kanak boleh menggunakan identiti palsu atau akaun “bawah tanah”.

“Maka, pendekatan ini perlu -disokong oleh mekanisme pengesahan identiti (eKYC)di platform media sosial.

“Dikuatkuasakan dengan kerjasama antara kerajaan, penyedia platform dan ibu bapa.

“Diiringi kempen pendidikan digital yang menyeluruh di sekolah dan komuniti,” saran pakar dari UPSI itu.

Mengemukakan cadangan tambahan daripada perspektif pakar Fauziah memaklumkan, pendidikan literasi digital seawal sekolah rendah— bukan sekadar melarang, tetapi mendidik kanak-kanak untuk celik risiko dunia siber.

“Program ketahanan emosi dan psikososial— supaya anak-anak tidak bergantung kepada dunia maya untuk pengiktirafan diri.

“Peranan ibu bapa dan komuniti — pemantauan, komunikasi terbuka, dan bimbingan secara berterusan.

“Tanggungjawab platform media sosial — mewujudkan ciri kawalan umur dan sekatan kandungan lebih ketat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat