KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berpeluang menjadi Perdana Menteri sekali lagi sekiranya beliau menerima cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa, ia berikutan kemungkinan wujudnya penggiliran jawatan kerana Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai kedudukan yang stabil, lapor Utusan pada Selasa.
“Saya difahamkan ada beberapa pimpinan kanan Pas dan Bersatu menolak (Kerajaan Perpaduan) dan ia tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).
“Ini bermakna, keputusan itu dibuat dengan segera di depan baginda,” katanya menerusi program audio siar The Zaid Ibrahim Podcast berdurasi 49 minit, semalam.
Mengimbas tiga tahun lalu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh memaklumkan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah menitahkan cadangan supaya PH dan PN membentuk Kerajaan Perpaduan.
Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar selepas beliau pulang menghadap baginda di Istana Negara, bersama Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Namun, Muhyiddin memberi sembah maklum kepada baginda keengganan PN untuk bekerjasama dengan PH.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, PN sewajarnya mengambil masa untuk berbincang tentang cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Beliau mendedahkan peristiwa itu menjadi titik tolak kepada masalah dalaman Bersatu dan PN.



