KUALA LUMPUR – Golongan mahakaya didakwa golongan masyarakat yang dianggap tidak layak menerima layanan daripada agenda Belanjawan 2025.
Dengan pengenalan kepada cukai dividen pada kadar dua peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima pemegang saham individu ini mungkin mengundang pelbagai impak.
Shahril Hamdan dalam audio siar Keluar Sekejap mentafsir mesej Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada golongan mahakaya jika dinilai secara kasarnya ialah “asasnya darjat kamu ini bukan darjat yang kita pentingkan, dari segi insentif yang kita berikan ataupun layanan yang diberikan”.
“Okey (sebab mereka dah memang mahakaya) tapi realitinya soal perangsangan ekonomi itu sendiri, saya rasa walaupun belanjawan ini bagus temanya jelas apa yang cuba dicapai oleh Perdana Menteri itu jelas tapi merangsang ekonomi itu tidak ada ‘headlines’ yang besar dan itu menjadi salah satu sifat.
“(Berkait) cukai atas dividen ini memberi gambaran ‘buat apa kita nak layan mahakaya’ tapi realitinya contoh kena bayar cukai atas dividen sebab kita memiliki saham Maybank dan kita dapat dividen yang besar sebab kita mahakaya.
“(Tak mustahil) mahakaya mungkin akan pindah ke bank negara asing dapat pengeculian cukai, mahakaya akan pindah modal.
“Tolak tepi kebertanggungjawaban tersebut, akan ada golongan tersebut (mahakaya) yang saya rasa akan pindah modal. Mungkin tak ramai tapi akan berlaku,” ujar Shahril.
Bahkan menurut bekas Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri kesembilan, Shahril menjelaskan ‘signalling effect’ daripada cukai atas dividen yang bakal diperkenalkan itu juga tidak mustahil untuk pengasas start-up company akan buka syarikat di negara jiran seperti Singapura untuk mengelak percukaian tersebut.
Sementara itu, bekas Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar melabel Anwar yang juga Menteri Kewangan sebagai ‘master of the balance’
“Kita tahu Perdana Menteri ini ‘master of the balance’ dan mungkin diperkenalkan cukai dividen tapi beliau perkenal dengan contoh inisiatif pelaburan strategik contohnya Dana Pemacu, KWAP, RM1 bilion untuk Khazanah bagi memberi sokongan kepada industri semikonduktor tempatan, RM200 juta untuk inovasi MSME, jadi ada sisi lain.
“Mungkin tidak ada ‘big bang’ berkait soal perangsangan ekonomi tapi saya rasa pendekatan Belanjawan 2025 yang diumum Perdana Menteri lebih kepada incremental iaitu berkembang sedikit demi sedikit secara teratur, bertahap,” jelas Khairy.