SELANGOR: Pasukan debat Universiti Sains Malaysia (USM) muncul sebagai juara keseluruhan Pertandingan Debat Statistik Antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2023 selepas menewaskan pasukan debat Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Pertandingan anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) yang berlangsung di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Sabak Bernam itu diadakan bersempena Hari Statistik Negara 2023 yang disambut pada setiap 20 Okt.
Tema pertandingan kali ini adalah berkaitan ‘Pasaran Buruh’ dan pertandingan itu disertai 14 pasukan daripada 14 IPT.
USM diwakili Muhammad Nor Azlan bin Yusuf, Muhammad Irfan Shah bin Duraman, Muhammad Hafizi bin Mohd Hanafi dan Muhammad Fahim Faidhi bin Mohd Azman.
USM membawa pulang Piala Pusingan dan wang tunai sebanyak RM3,000.
Pada pertandingan akhir itu, UiTM sebagai kerajaan dan USM sebagai pembangkang berdebat mengenai usul ‘Ketidakpadanan bidang pengajian graduan dan pekerjaan perlu diteliti bagi menjamin kualiti tenaga kerja di Malaysia.’
Program itu diadakan bagi menggalakkan pemikiran kritis dan analitikal dalam kalangan mahasiswa tentang isu berkaitan pasaran buruh melalui penyampaian hujah secara rasional serta penganalisian data dan fakta sekali gus meningkatkan penggunaan statistik yang dikeluarkan oleh DOSM.-SUARATV