Siapa Berkonflik, Rumah Siapa Runtuh? YB Anthony Loke, Beli Cermin – Ahmad Fadhli

CYBERJAYA – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membidas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang mendakwa PAS mahu menjadi dominan dalam pakatan politik.

Dalam satu kenyataan di media sosial, Ahmad Fadhli menyifatkan Anthony Loke perlu menilai semula sikap DAP sendiri sebelum menuding jari kepada parti lain.

“Siapa yang berkonflik ni? Rumah siapa sedang runtuh ni? YB Anthony Loke, beli cermin ye,” katanya.

Ahmad Fadhli mendakwa, meskipun PAS dan Bersatu mempunyai perbezaan pandangan dalam isu calon Perdana Menteri, ia masih dalam ruang lingkup perbincangan kerana kedua-dua parti baru sahaja melalui Perhimpunan Agung Tahunan yang memberi ruang kepada ahli bersuara.

Beliau menegaskan, PAS tidak pernah menggerakkan ahlinya untuk membuat laporan polis terhadap Bersatu, berbeza dengan DAP yang sebelum ini menggerakkan ahli untuk membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda UMNO.

“Walaupun bukan dalam satu pakatan politik rasmi, tetapi bukankah dalam beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini, DAP dan UMNO masing-masing setuju untuk tidak bertembung? Itulah pakatan politik namanya,” katanya.

Menurutnya lagi, tindakan DAP mengarahkan laporan polis secara terbuka terhadap Ketua Pemuda UMNO menggambarkan parti itu lebih dominan dalam kerajaan perpaduan, apatah lagi tiada pimpinan utama UMNO tampil mempertahankan ketua sayap mereka.

“Bukankah itu bermaksud dominannya DAP? Tidak ada grup WhatsApp? Tidak ada meja rundingan? Jawabnya ada, tetapi kerana nak tunjuk dominan, DAP buat kenyataan secara terbuka,” katanya lagi.

Ahmad Fadhli turut mengingatkan sejarah hubungan DAP dan PAS dalam Pakatan Rakyat dahulu. Katanya, walaupun DAP pernah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, namun parti itu masih mengekalkan kerjasama dengan PAS ketika itu.

Beliau juga menyindir tindakan beberapa bahagian UMNO di Wilayah Persekutuan yang mengisytiharkan secara rasmi putus hubungan dengan DAP, sebagai bukti retaknya hubungan dalam kerajaan sekarang.

Kenyataan pedas Ahmad Fadhli ini hadir sebagai respons kepada tuduhan Anthony Loke bahawa PAS mahu menjadi parti dominan dalam pakatan politik pembangkang.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat