Tiada Pesawat Ditemui, Operasi SAR Dihentikan Hingga Ada Petunjuk Baru

- Advertisement -

GEORGETOWN – Polis sudah memanggil 10 saksi yang berada di lokasi berhampiran yang didakwa berlaku kejadian pesawat jatuh di perairan negeri berhampiran Tanjung Bunga, semalam.

Bagaimanapun, hanya tiga saksi mendakwa melihat kejadian itu kira-kira jam 2 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata saksi yang juga penduduk setempat mendakwa mereka melihat objek seperti kotak mancis berwarna hitam dan menjunam ke laut serta mengeluarkan belon di bahagian belakang objek itu.

Soffian berkata, ketika itu, tiga saksi terbabit masing-masing berada pada jarak 20 meter antara satu sama lain.

Beliau berkata, bagaimanapun mereka tidak dapat mengesahkan sama ada ia pesawat tetapi melihat objek itu sebagai ‘menyerupai pesawat’ yang menjunam pada jarak sekitar 1.5 kilometer dari pantai.

“Siasatan terhadap beberapa orang awam dan nelayan lain di lokasi pula mendapati mereka mendakwa tidak melihat kejadian itu.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh polis dan beberapa agensi juga dihentikan hingga ada petunjuk dan maklumat baharu,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Soffian berkata, beliau belum boleh menyatakan maklumat kejadian itu palsu, sebaliknya sedang mengesan lebih ramai saksi dan orang awam yang berada di lokasi bagi meneruskan siasatan.

Katanya, hingga kini pihaknya masih belum menerima laporan daripada Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atau laporan kehilangan daripada keluarga mangsa.

“Juga tular mengenai orang awam yang melihat sebuah helikopter berwarna kuning berlegar di perairan, namun ia sudah disahkan CAAM bahawa helikopter yang berlepas dari Kedah itu memang melakukan penerbangan dan sudah mendarat di Subang.

“Sehubungan itu orang awam juga dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu, selain tampil ke balai polis sekiranya mempunyai maklumat,” katanya lagi.

Semalam, polis bersama beberapa agensi menjalankan operasi SAR di kawasan itu sejurus menerima laporan berhubung kejadian.

Namun, pihak berkuasa masih belum menemui sebarang petunjuk atau bangkai pesawat didakwa terhempas itu hingga jam 6.30 petang sebelum operasi dihentikan pada 7 malam berikutan cuaca gelap. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat