KUALA LUMPUR – Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding dalam Pilhan Raya Umum (PRU) akan datang menggunakan lambang dan simbol BN.
Menurut sumber Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua calon yang bertanding bawah tiket BN akan disaring teliti tanpa calar sedikit pun.
“Dalam pilihan raya akan datang lambang dan simbol BN akan kita gunakan untuk semua calon.
“Kita dah menang jangan bangga tapi harus bersyukur, Allah telah uji kita dengan ujian tapi bersangka baik dengan hikmahnya nanti.
“Pemilihan calon yang tepat dan jangan ada calar sikit pun dan dalam tempoh kurang 3 tahun kita akan menghadapi PRU.Jangan gunakan pendekatan yang sama untuk semua tempat.
“Sebarang strategi kalau kita bercerita dekat org lain tidak lagi strategi. Takut strategi kita dulu digunakan untuk tikam kita,” kata Zahid menurut sumber.
Selain itu, Presiden Umno itu juga mengingatkan agar setiap menteri perlu memperlihatkan yang pemimpin dan tokoh dari Umno apabila diberikan tanggungjawab akan melakukan dan melaksanakannya dengan baik.
Difahamkan, Zahid turut berpesan supaya semua ketua bahagian perlu menghadiri satu kursus untuk berkumpul bagi mengatur kerangka dan haluan bagi memenangi semula hati pengundi Felda.
“Mulakan usaha dengan memperkasa parti . . Boleh berbeza pendapat tapi jangan sampai wujudnya kabilah-kabilah.
“MKT adalah tunjang utama dalam parti dan saya sangat berpuas hati kerana sehingga hari ini masih sebulat suara bersama.
“Kita mesti berada di bawah satu naungan walaupun ada berbeza pendapat,” katanya menurut sumber itu lagi.
Menyentuh isu titah adendum membabitkan Datuk Seri Najib Razak, Zahid difahamkan menyatakan pendirian tegas tidak berganjak membela nasib Bossku.
“Datuk Najib, adendum kami membawa mandat setiap ahli parti dan kami tidak pernah berganjak dalam membela nasib Bossku.
“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. . sidang perwakilan sudah pasti mengerti dengan apa yg saya maksudkan.
“Sosok tubuh itu sentiasa ada dalam persidangan. Namun kali ini kita hanya mampu merindui. Kalau kita terus istiqamah untuk ummah dan rumpun kita Insya-Allah kita akan dapat kejayaan,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Beliau malah berikrar akan membantu Umno Sabah untuk menang semula negeri itu.
Perkembangan lain, Zahid juga difahamkan telah mengumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai pengarah pilihan kecil DUN Mahkota.