Dewan Rakyat Lulus RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 bagi menambah baik liputan keselamatan sosial dengan meningkatkan faedah tertentu yang diterima pekerja.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata peningkatan had maksimum siling gaji bulanan daripada RM4,000 kepada RM5,000 bagi caruman akan menambah baik perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau berkata peningkatan itu melibatkan faedah bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 seperti faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, pencen ilat dan pencen penakat.

“Bagi menjelaskan lagi perkara ini, saya memberikan contoh sekiranya seorang pekerja yang berumur 30 tahun dan bergaji melebihi RM5,000 layak menerima faedah hilang upaya kekal, pengiraan bayaran pukal bagi pekerja itu mengikut siling gaji sedia ada berjumlah RM177,252.30.

“Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan siling gaji yang baharu, pekerja akan menerima sejumlah RM222,126.30. Dalam hal ini, terdapat peningkatan sebanyak 25.3 peratus bagi siling gaji baharu berbanding siling gaji sedia ada,” katanya ketika membentangkan rang undang-undang itu untuk bacaan kali kedua.

Ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu, Saravanan berkata pindaan terbabit adalah wajar untuk memberi perlindungan lebih meluas kepada mereka yang berpendapatan lebih RM4,000 hingga RM5,000 memandangkan kos sara hidup kini telah meningkat.

Beliau berkata terdapat 7.78 juta pekerja warganegara dan sejuta pekerja asing berdaftar dengan Perkeso setakat Mei 2022 dan daripada jumlah itu, sejumlah 464,155 merupakan majikan yang tidak aktif.

Saravanan turut memaklumkan bahawa sejumlah 19.7 juta warganegara dan 1.94 juta bukan warganegara pekerja berdaftar dalam sistem Perkeso manakala bilangan penerima faedah keseluruhan ialah 678,329 orang setakat Disember 2021.

“Bayaran faedah pula berjumlah RM4.334 bilion setakat 2021. Bagi tahun 2022 setakat Mei, penerima faedah adalah berjumlah 664,265 pekerja dengan bayaran berjumlah RM1.958 bilion.

“Pekerja yang ditimpa kemalangan dalam bulan pertama bekerja layak menerima faedah di bawah Perkeso walaupun belum mencarum. Apabila mereka terima surat tawaran walaupun belum mencarum, mereka masih layak,” katanya.

Persidangan Dewan bersambung Isnin. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat