KUALA LUMPUR: UMNO perlu berubah dan menyesuaikan corak berfikir selari dengan golongan muda sekiranya mahu meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menyedari hakikat golongan remaja kini mempunyai pengaruh besar dalam menentukan kelangsungan pentadbiran sesebuah parti dan negara, UMNO harus berubah dan menyesuaikan corak berfikir.
Katanya, hanya dengan langkah tersebut dapat menentukan pola pengundian dalam pilihan raya umum, sekali gus memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan sedia ada.
“Barisan Nasional (BN) dan UMNO dari dahulu lagi kita berhubungan secara terus dengan orang muda. Kita memahami aspirasi mereka, bersama dengan mereka dan sealiran pemikiran dengan mereka.
“Insya-Allah mereka boleh bersama kita selagi kita tidak berbeza pemikiran dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Mindef Prihatin di Wisma Pertahanan, di sini semalam.
Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan Utusan Malaysia kelmarin tentang 5.94 juta pemilih dalam kumpulan umur 21 hingga 39 tahun yang diwartakan setakat 24 Mei lalu.
Berdasarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) suku pertama tahun ini, terdapat pertambahan kira-kira setengah juta pengundi baharu menjadikan keseluruhan 15,361,052 pemilih yang layak mengundi jika pilihan raya diadakan tahun ini.
Malah, jika pendaftaran secara automatik pengundi 18 tahun dilaksanakan, seramai 7.8 juta pengundi baharu akan muncul sehingga penggal parlimen tamat pada 2023 yang secara keseluruhan merekodkan 23 juta orang pengundi berdaftar.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut senada berkata, UMNO perlu bangkit dengan wajah baharu menampilkan kepemimpinan muda daripada parti itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Asyraf Wajdi berkata, ia sebagai usaha mengelakkan UMNO terus dipandang sinis susulan kontroversi yang melanda parti itu ketika ini.
“Sudah tiba masanya UMNO menampilkan pemimpin-pemimpin baharu, muda, segar dan bebas dari sebarang kontroversi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“UMNO tidak pernah ketandusan pemimpin muda dan baharu dalam kalangan Pemuda, Puteri mahupun Wanita yang mampu menggalas amanah agama dan bangsa dengan lebih berwibawa dan berintegriti,” katanya ketika dihubungi semalam.
Mengulas lanjut perkara itu, Asyraf berkata, UMNO kali ini perlu meletakkan harapan sepenuhnya kepada orang muda untuk mentadbir parti supaya parti boleh ke hadapan dengan imej yang lebih baharu dan segar.
“Rakyat hakikatnya meletakkan sepenuh pengharapan kepada UMNO dan BN untuk kembali menerajui negara selepas mengharungi tempoh ‘percubaan’ 22 bulan di bawah PH dan 16 bulan di bawah PN setakat ini.
“Namun rakyat mahukan UMNO yang berwajah baharu yang segar dengan lebih berintegriti dan meletakkan asas-asas akhlak dan moral yang tinggi,” katanya. – UTUSAN