KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menjalani pemeriksaan kesihatan tahunan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.
Menurut Pengarah hospital, Dr Farique Rizal Abdul Hamid, hasil pemeriksaan menunjukkan tahap kesihatan Anwar berada dalam keadaan yang sangat memuaskan.
“Alhamdulillah, beliau dapat menjalankan tugasan rasmi seperti biasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dr Farique turut menjelaskan bahawa pemeriksaan ini merupakan sebahagian daripada rutin tahunan Perdana Menteri sebagai usaha mengekalkan kecergasan dan kesiapsiagaan dalam menerajui pentadbiran negara.
“Ini bagi memastikan beliau bersedia dalam menerajui pentadbiran negara dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dengan penuh dedikasi,” katanya lagi.