PUTRAJAYA — Barisan Nasional akan memastikan tiada boikot daripada ahli parti bagi mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin yang mewakili Kerajaan Perpaduan dalam PRK Sungai Bakap 6 Julai ini.
Pegerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya akan memastikan pengundi putih (Umno-BN) untuk keluar mengundi.
“Kita akan cuba sedaya mungkin memaksimumkan usaha untuk (memastikan pengundi putih Umno keluar mengundi) jika boleh sejumlah yang besar untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan.
“Terdapat lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Umno mempunyai ahli yang menjadi pengundi berjumlah iaitu 5,105 orang, jadi tumpuan kita ialah kepada pengundi pengundi Umno di samping kita cuba menggamit pengundi Melayu untuk mengundi (calon kerajaan perpaduan),” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat khas bersama peserta dan penganjur Mid Season Cup Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) 2024 -Moonton Games Malaysia di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Perdana Putra.
Zahid berkata parti komponen dalam BN termasuk MCA, MIC, Friend OF BN
juga telah dimobilisasi untuk mendekati pengundi pengundi pelbagai kaum di Sungai bakap untuk menyokong calon PH.
Terdahulu Umno Dun Sungai Bakap menuntut supaya parti itu diberi laluan oleh PH untuk bertanding mewakili BN PRK sebagai membalas jasa parti itu yang mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri dan memenangkan PH di Dun Kuala Kubu Bharu.
BN bagaimanapun mengumumkan parti itu tidak akan meletakkan calon sebaliknya memberi laluan kepada PH bertanding dengan mempertaruhkan Joohari dari PRR.
Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Yang Dipertua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka dalam PRN lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.