KUALA LUMPUR – Cabaran PKR hari ini adalah memilih pimpinan yang mampu kekal berpegang kepada idealisme reformasi, walaupun diuji dengan kuasa.
Menurut calon Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli, PKR berdepan persaingan daripada pelbagai kumpulan, tetapi masa depan parti hanya boleh dibina oleh mereka yang sudah teruji dan kekal setia pada prinsip.
Pada 23 Mei ini (Jumaat), anggota PKR akan keluar mengundi untuk memilih 20 orang Majlis Pimpinan Pusat (MPP), melengkapkan saf kepimpinan parti bagi penggal 2025–2028.
“Dalam beberapa minggu ini, saya telah menerima pelbagai pandangan dan mesej daripada anggota akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan yang teguh membawa semangat reformasi, setia dan bukan sekadar mengejar kedudukan.
“Cabaran kita hari ini adalah memilih pimpinan yang mampu kekal berpegang kepada idealisme reformasi, walaupun diuji dengan kuasa. Kita berdepan persaingan daripada pelbagai kumpulan, tetapi masa depan parti hanya boleh dibina oleh mereka yang sudah teruji dan kekal setia pada prinsip,” kata Rafizi.
Jelas Menteri Ekonomi itu lagi, HIRUK Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa bukan sekadar slogan.
“Ia adalah seruan untuk mengembalikan roh perjuangan KEADILAN, agar kita terus berpijak di atas kekuatan sendiri.
“Saya pulangkan pilihan kepada perwakilan dari seluruh negara.
“Sebagai perwakilan cabang masing-masing, saudara dan saudari membawa suara akar umbi. Tanggungjawab ini besar untuk memastikan parti kekal di landasan reformasi dan tidak tersasar daripada perjuangan asal,” katanya.