Jho Low tidak berani perdaya Najib – Datuk V. Sithambaram

- Advertisement -

PUTRAJAYA; Ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak berani memperdayakan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana hubungan baik mereka, Mahkamah Rayuan diberitahu.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk V. Sithambaram berkata adalah sukar untuk mempercayai bahawa Jho Low, berada dalam kedudukan bawahan kepada perayu (Najib) mempunyai keberanian untuk mengatur transaksi penipuan, yang secara langsung akan memberi kesan kepada bekas perdana menteri itu.

Sithambaram berhujah demikian di hadapan panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dalam prosiding rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana penyalahgunaan dana SRC International sebanyak RM42 juta.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

“Jho Low memainkan peranan penting dalam pengiriman wang berjumlah RM42 juta daripada SRC ke dalam akaun perayu dan tidak akan mempengaruhi pemindahan tanpa pengetahuan perayu,” tambahnya.

Sithambaram menegaskan bahawa hubungan erat antara Jho Low dan Najib disahkan lagi oleh saksi pendakwaan ke-50, bekas Pengarah Urusan Kumpulan AmBank, Cheah Tek Kuang.

Sebenarnya, Jho Low adalah orang yang memperkenalkan Cheah kepada Najib di kediaman peribadi perayu ketika dia ingin membuka akaun AmBank, katanya.

Ketika menyentuh mengenai usaha Jho Low untuk memastikan kecukupan dana dalam akaun Najib, Sithambaram berkata Najib bahkan telah menjelaskan bahawa Jho Low telah bekerja keras untuk memastikan semua ceknya bukan cek tendang atau dia akan diminta untuk menanyakan status akaunnya, sekali gus mendedahkan transaksi sebenar akaun tersebut.

“Kini, perayu mendakwa menjadi mangsa manipulasi dengan meraih dana (bukannya kehilangan) melalui tindakan Jho Low.

“Perayu mengatakan bahawa Jho Low  telah membuat banyak wang daripada pembabitannya dalam Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC.

“Itu sebenarnya sebab Jho Low memastikan dana (dalam akaun) itu ada…supaya hubungannya dengan perayu tidak akan terjejas dan seterusnya menimbulkan curiga perayu,” katanya.

— BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat