Peti besi usahawan wanita ditemui dalam sungai bersama jongkong emas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Selepas lebih dua minggu, kes pecah rumah usahawan wanita di Padang Balang, dekat Sentul di sini pada 4 Mac lalu selesai dengan empat suspek termasuk tiga wanita ditahan.

Susulan penahanan semua suspek berusia antara 22 hingga 36 tahun itu, polis turut menemukan semula peti besi yang dilarikan, selain empat jongkong emas, pelbagai barangan kemas, beg berjenama serta wang tunai yang semuanya dianggarkan bernilai RM2.1 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, mengesahkan semua suspek itu ditahan pada 5 Mac lalu oleh Unit Risikan Jenayah (D4) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor di batu Pahat, Johor.

“Menerusi tangkapan itu, polis Selangor merampas pelbagai jenis barang kemas, jam tangan serta pelbagai beg berjenama yang dipercayai hasil pecah rumah.

“Semua suspek direman Polis Selangor sehingga 16 Mac lalu sebelum diserahkan kepada Polis Kuala Lumpur bagi membantu siasatan kes pecah rumah yang berlaku di Padang Balang itu.

“Mereka direman sembilan hari sehingga 25 Mac ini dan hasil soal siasat, suspek mendedahkan lokasi peti besi yang dilarikan dalam kes itu.

“Pada 19 Mac lalu, dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, kita berjaya menemui peti besi berkenaan yang dibuang dalam Sungai Sembrong di Batu Pahat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini, hari ini.

Allaudeen berkata, pemeriksaan pada peti besi itu menemukan semula empat jongkong emas bernilai RM1 juta yang gagal ditemui suspek kerana disimpan dalam petak tersorok dalam peti besi itu.

“Secara keseluruhan, kita menemui semula empat jongkong emas, 15 rantai emas, 14 gelang emas, dua cincin emas, tujuh beg berjenama dan masing-masing satu loket emas dan subang emas dengan nilai dianggarkan RM2.1 juta.

“Pihak polis turut menemui semula wang tunai RM60,000 daripada keseluruhan RM400,000 yang dilarikan dalam kes ini dan kita masih mengesan bakinya,” katanya.

Allaudeen berkata kumpulan ini dipercayai terbabit dengan beberapa kes pecah rumah di Kelantan dan Selangor, selain di ibu kota dengan modus operandi mereka menyasarkan ahli perniagaan dan pempengaruh media sosial.

“Siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun adalah dalang utama kumpulan ini dan semakan mengesahkan lelaki itu mempunyai 20 rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah. Tiga suspek wanita turut mempunyai beberapa rekod lampau.

“Menerusi penahanan semua suspek ini, kita percaya berjaya menyelesaikan kes pecah rumah di Padang Balang pada 4 Mac lalu. Kita juga merujuk kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah.

Media sebelum ini melaporkan seorang usahawan wanita kerugian RM3.5 juta selepas peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dilarikan dalam kejadian di Padang Balang, Sentul.

Suspek turut melarikan beberapa buah beg tangan pelbagai jenama dalam kejadian antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam itu.

Kejadian pecah masuk itu berlaku ketika ahli perniagaan wanita terbabit serta keluarganya tiada di rumah dan penjenayah turut merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) kediaman terbabit. – BH

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat