CYBERJAYA – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, meraikan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, dalam satu majlis di Seri Negara sempena lawatan khas pemimpin republik itu ke Malaysia malam ini.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana penuh bermakna di Seri Negara, sebuah rumah agam berusia lebih seabad yang menjadi saksi pelbagai detik penting sejarah negara, termasuk pemeteraian Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perjanjian Kemerdekaan 1957.
Kedua-dua pemimpin meluangkan masa hampir tiga jam berbincang serta meninjau bangunan bersejarah itu sambil mendengar penerangan mengenai sejarah dan usaha pemuliharaannya melalui inisiatif Warisan Kuala Lumpur.
Mereka turut berbuka puasa bersama sebelum meneruskan pertemuan empat mata sewaktu makan malam bagi membincangkan usaha mempererat persahabatan Malaysia–Singapura serta memperkukuh kerjasama dalam menangani isu tertunggak antara kedua-dua negara.
Anwar berkata beliau amat menghargai kunjungan Lawrence Wong yang mencerminkan hubungan persahabatan erat antara Malaysia dan Singapura, di samping mengukuhkan hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin.
Beliau turut menyatakan harapan agar pertemuan tersebut, bersama keberkatan Ramadan, akan terus menyuburkan persefahaman serta kemakmuran berpanjangan kepada rakyat kedua-dua negara.



