KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan supaya Lembaga Tabung Haji (LTH) mengkaji semula tempoh masa berada di tanah suci.
Saran beliau, empat pakej tempoh masa menunaikan ibadah haji boleh diperkenalkan iaitu 14 hari, 21 hari, 30 hari dan 40 hari.
“Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos tetapi dapat menarik minat lebih ramai untuk menunaikan Rukun Islam Kelima ini kerana tempoh masa yang singkat dan mungkin ada di antara kita yang terikat dengan kerja dan perniagaan.
“Dana Bantuan Kewangan Haji datang sepenuhnya dari keuntungan pelaburan yang dijana oleh LTH. Keseimbangan Tabung dan Haji penting kerana ia memberi kesan langsung kepada Bantuan Kewangan Haji terhadap kadar agihan keuntungan setiap tahun.
“Saya juga memohon supaya kerajaan mempertimbangkan Akta Tabung Haji 1995 dikaji dan digubal semula untuk penambahbaikan kerana sudah terlalu lama dan tidak relevan,” katanya dalam perbahasan menyokong Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Ismail Sabri, sebagai contoh tiada peruntukan untuk patuh Syariah dan tadbir urus baik diwartakan di dalam Akta Tabung Haji yang sedia ada; walaupun Tabung Haji sebagai asasnya perlu patuh Syariah.
“Penambahbaikan perlu dari segi tadbir urus, pemantauan dan kawal selia bagi memastikan dana sebanyak RM88 bilion dapat diuruskan dengan lebih sempurna.
“Akta Lembaga Tabung Angkatan Tentera telah di tambah baik; hanya Akta Tabung Haji yang masih belum ditambah baik.
“Cadangan bagi Akta Tabung Haji untuk dikaji dan ditambah baik telah dicadang pada pertengahan tahun 2021 oleh kerajaan dan Jemaah Menteri,” ujar Ismail Sabri.
Ahli Parlimen Bera itu menambah, Jawatankuasa Suruhanjaya Siasatan Di Raja juga ada menyarankan agar Akta Tabung Haji 1995 di kaji dan tambah baik.
“Justeru, saya memohon penjelasan daripada kerajaan apakah perkembangan terkini dan sasaran tarikh pelaksanaan cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995,” katanya.
Untuk rekod, Lembaga Tabung Haji telah menganggarkan peningkatan Kos Haji daripada RM25,540 pada tahun 2022 kepada RM31,870 pada tahun ini.
Antara faktor utama kenaikan kos haji adalah inflasi berikutan impak ekonomi global (seperti perang Russia-Ukraine), kenaikan harga minyak, isu logistik pasca Covid-19, percukaian dan banyak lagi.
Dengan mengandaikan pengekalan aturan bayaran haji 2022 untuk tahun ini iaitu RM10,980 bagi kumpulan B40 dan RM12,980 bagi kumpulan M40, tanggungan TH bakal meningkat masing-masing kepada RM20,890 dan RM18,720 malah Tabung Haji terpaksa menanggung subsidi yang tinggi.