PMKS ‘Game Changer’ Pembangunan Ekonomi Negara – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yakin Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pelengkap kepada usaha Kerajaan melalui sektor Kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutamanya dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini.

Ismail Sabri memaklumkan dari 1 Jun sehingga 31 Disember 2021, bantuan bayaran balik pinjaman telah dimanfaatkan oleh 95,800 peminjam PMKS dan 2.7 juta peminjam individu.

“Bagi PMKS yang menghadapi masalah pembiayaan perniagaan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan (AKPK) juga sedia menawarkan perkhidmatan percuma termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) merangkumi bantuan penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan sedia ada.

“Sejak bermulanya pandemik COVID-19, dana PKS BNM telah dimanfaatkan oleh lebih dari 53,000 PMKS dengan jumlah pembiayaan berjumlah hampir RM20 bilion.

“Pinjaman kepada segmen perniagaan oleh sektor perbankan mencatatkan perkembangan 4.9 peratus dengan jumlah pengeluaran pinjaman atau disbursements sebanyak RM84 bilion pada suku keempat 2021,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, dalam jangka masa panjang, adalah mustahak bagi sektor PMKSmenjadi pemacu baru kepada pertumbuhan negara.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), transformasi PMKS merupakan salah satu daripada pelbagai projek game changer yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing dan sumbangan segmen ini kepada pembangunan ekonomi negara.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk: Pelaksanaan sebuah pelan hala tuju digital PMKS; Peralihan fokus PMKS dari pasaran bertumpu tempatan ke pasaran dunia.

“Selain itu pelaksanaan program intervensi second chance bagi peniaga tertentu; dan Pemerkasaan ekosistem koperasi dalam menjana generasi usahawan yang baru,” katanya.

Menurut Ismail Sabri usaha ini juga selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara, atau JENDELA, dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, atau MyDigital, yang bakal memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

Kata beliau inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan PMKS kepada KDNK negara ke 45 peratus, sumbangan kepada eksport negara ke 25 peratus dan menjana 2 “unicorn” kebanggaan Malaysia menjelang 2025.

“Secara tidak langsung, setelah sektor perniagaan pulih, peluang pekerjaan juga akan bertambah. Seterusnya, sasaran 600,000 peluang pekerjaan akan tercapai melalui sumbangan penciptaan pekerjaan di sektor PMKS ini,” jelas beliau.

Perdana Menteri berkata lagi, setelah hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, tahun ini bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan menjadi tahun untuk menyusun semula, atau reform.

“Kepada komuniti PMKS, saya berharap agar Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan.

“Dalam berbuat demikian, saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia – Kerajaan, sektor perbankan dan komuniti perniagaan – dalam menyahut cabaran jangka masa panjang negara dan merealisasikan aspirasi akan sebuah Malaysia yang “Makmur, Inklusif dan Mampan”, ucap beliau.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob