Air Sungai Perak bertukar biru berpunca aktiviti perlombongan, kehadiran logam berat – Arthur Kurup

KUALA LUMPUR- Air Sungai Perak di kawasan Parlimen Gerik didapati berwarna biru berikutan dipengaruhi kehadiran logam berat atau bahan kimia tertentu yang mungkin berpunca daripada aktiviti perlombongan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ia berdasarkan hasil pemerhatian awal oleh pasukan petugas khas atau ‘task force’ yang dianggotai pelbagai agensi.

“Selain itu, pembukaan tanah bagi aktiviti lain juga boleh menyumbang kepada insiden berkenaan berikutan sifat geologi di kawasan Hulu Perak yang dikenal pasti mempunyai kandungan mineral tinggi.

“Bagaimanapun, penentuan punca yang muktamad masih memerlukan pengesahan analisis makmal dan penilaian lanjut,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan dalam laman sesawang Parlimen, pada Rabu.

Pada Oktober 2025, isu pencemaran sungai di kawasan Parlimen Gerik, khususnya berkaitan air Sungai Perak bertukar biru tular dalam media sosial sehingga dikhuatiri menjejaskan kualiti air, keselamatan dan kesihatan penduduk setempat.

Justeru, NRES mengaktifkan gerak kerja ‘task force’ pada 26 dan 27 November lalu, membabitkan agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Tenaga Atom, Jabatan Kimia Malaysia, Agensi Nuklear Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ia bagi menjalankan pemeriksaan tapak, siasatan punca pencemaran serta pensampelan kualiti air sungai di kawasan terbabit, lapor BH.

Pasukan petugas itu turut membabitkan agensi bawah Kerajaan Perak seperti Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Perak (PDTHP), serta Lembaga Air Perak.

Bagi penyelesaian jangka panjang, Arthur berkata, NRES akan terus memperkukuhkan tadbir urus serta kawal selia aktiviti perlombongan bawah bidang kuasa kementerian, melalui penguatkuasaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan yang ketat.

Beliau berkata, ia termasuk pematuhan syarat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dikeluarkan JAS, dan memperkukuhkan syarat-syarat berkaitan pengurusan rawatan efluen lombong.

“Ia turut membabitkan kawalan hakisan dan sedimen bagi kelulusan Skim Pengendalian Perlombongan (OMS) yang dikeluarkan JMG,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat