KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mengulangi peringatan semua aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di zon Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini susulan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelaksanaan PKP di enam negeri lagi, iaitu Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Perlis mulai esok hingga 4 Februari depan. Ini menjadikan PKP dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata FINAS menyarankan syarikat produksi yang sedang melakukan aktiviti penggambaran di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), segera pulang bagi mengelak kesulitan.
“FINAS mengesyorkan mana-mana syarikat produksi yang mahu melakukan perjalanan pulang membabitkan pergerakan rentas negeri mendapatkan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mereka hendaklah menyertakan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) yang dikeluarkan FINAS sebagai dokumen sokongan.
“Ini supaya rumah produksi tidak berdepan masalah membabitkan penggambaran,” katanya.

Ahmad Idham berkata, FINAS faham kesulitan dialami warga industri ketika negara mengambil tindakan drastik memutuskan rantaian COVID-19.
“Bagaimanapun, FINAS menyeru syarikat produksi supaya mematuhi pelaksanaan PKP untuk kebaikan bersama berikutan peningkatan penularan jangkitan COVID-19,” katanya.
Ahmad Idham berkata, FINAS melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sudah mendapatkan pencerahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung larangan aktiviti penggambaran.
Tambahnya, FINAS berharap keadaan akan segera pulih supaya warga seni boleh kembali bekerja seperti biasa.
“FINAS faham isu dan pemasalahan penggiat seni kreatif. Jadi, kami sedaya upaya membantu industri seni mengharungi PKP,” katanya.
Berita Harian