Jurey sangkal Freddie

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG), Datuk Jurey Latiff Rosli menafikan kenyataan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez yang mendakwa gabungan itu gagal memainkan peranan sebagai badan pentauliahan penggiat industri kreatif.

Menyifatkan dakwaan Freddie tidak tepat, Jurey berkata, CCIG memberi komitmen tinggi kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dalam memastikan dasar dan hala tuju industri kreatif tercapai.

“Sebagai persatuan yang ditubuhkan pada 2011 dengan mandat FINAS, kami sudah menjalankan tugas dengan baik.

“CCIG bekerjasama dengan FINAS dalam perkongsian pangkalan data dan kerangka pengiktirafan industri kreatif sejak penubuhannya,” katanya.

Dalam kenyataan bertarikh 15 Januari lalu, Freddie mencadangkan badan baharu ditubuhkan untuk menggantikan CCIG yang didakwa gagal berfungsi sebagai badan pentauliahan sejak diasaskan lebih 10 tahun lalu.

Freddie berkata, badan baharu itu boleh dijadikan organisasi induk di mana setiap individu yang mendapatkan akreditasi daripada FINAS secara automatik diminta menjadi ahli kepada persatuan baharu.

Ini merangkumi pelakon, pengarah, kru filem, jurukamera, penyunting video, pengamal animasi, pemuzik, penyanyi, juruaudio dan sebagainya.

Jurey berkata, keputusan FINAS untuk mengendalikan sendiri aktiviti pentauliahan selepas ini bagaimanapun dianggap tindakan tepat.

“Ini kerana FINAS mampu menguatkuasakan peraturan dan undang-undang di bawah Akta 244.

“Bagaimanapun, kami sentiasa berharap semua perancangan FINAS mendapat kerjasama semua pihak demi kebaikan dan masa depan industri yang lebih cemerlang,” katanya.

 

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendakwa CCIG gagal memainkan peranan sebagai badan pentauliahan penggiat industri kreatif.
Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendakwa CCIG gagal memainkan peranan sebagai badan pentauliahan penggiat industri kreatif.

 

Jurey berkata, apa yang penting, tindakan diambil tidak menjurus kepada apa yang dikatakan ‘reinventing the wheel’ atau menghabiskan masa dengan menggerakkan sesuatu yang sudah wujud melalui penubuhan persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baharu.

Tambahnya, badan lain yang mahu diasaskan perlulah berfungsi sebagai organisasi bebas.

“Cuma apa yang diharapkan, FINAS dapat merujuk kepada persatuan sedia ada terutama CCIG yang sudah membangunkan kerangka pengiktirafan industri kandungan kreatif membabitkan 6,641 ahli,” katanya.

Jurey berkata, 445 ahli sudah mendapat pentauliahan dengan 191 individu dikategorikan profesional.

Mengenai langkah FINAS memperkasakan program Padu Citra, Jurey berkata, mengikut perancangan, setiap badan diberi pengkhususan mengikut disiplin atau bidang pekerjaan dan tiada lagi persatuan ‘rojak’ terbabit dalam proses itu.

Tambahnya, CCIG berharap FINAS tidak lagi melayan persatuan yang tiada pengkhususan atau kepakaran dalam mana-mana bidang namun sentiasa menonjol dan menjadi tempat rujukan.

“Apa juga pembaharuan atau cadangan untuk industri, CCIG berharap FINAS dapat berbincang dengan pemegang taruh bagi memastikan keharmonian dan kerjasama erat diberi semua pihak.

“Kejayaan dasar kerajaan dapat diukur apabila semua pihak berkepentingan dapat memahami aspirasi dengan memberi pandangan, cadangan dan membuat keputusan secara kolektif,” katanya.

Jurey berkata, CCIG berharap ahlinya yang diberi pentauliahan dapat diterima FINAS dan menjadikan mereka sebahagian pangkalan data baharu dalam proses pentauliahan dan akreditasi badan itu.

Bagaimanapun, CCIG berharap sistem akreditasi itu mampu melahirkan tenaga kerja profesional yang mampu memulakan langkah Road To Oscar seperti diilhamkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

CCIG ditubuhkan pada 2011 sebagai badan bukan berasaskan keuntungan. Organisasi tunggal di Malaysia itu diiktiraf badan profesional Malaysian Board of Technologist (MBOT) dan Producers’ Guild Of America (PGA).

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat