Hadi Label Kerajaan Madani Sebagai ‘Syubhah’

CYBERJAYA — Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang melabelkan pendekatan Kerajaan Madani dan pembentukan kabinetnya sebagai syubhah, dengan mendakwa ia mencampur adukkan prinsip yang tidak jelas sempadan halal dan haram dalam pentadbiran negara.

Dalam kenyataan bertajuk Kabinet Bercampur Selera, Abdul Hadi berkata, gabungan politik yang disifatkannya sebagai liberal sekular itu telah mengaburkan prinsip asas fitrah bangsa dan agama, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Beliau menggunakan analogi fiqh berkaitan makanan dan air mutlak bagi menggambarkan situasi politik semasa, dengan menyatakan bahawa sesuatu yang kelihatan bersih dan indah pada zahirnya boleh berubah hukum apabila bercampur dengan unsur lain.

Menurutnya, PAS serta kelompok Melayu Islam dan bukan Islam tidak berminat dengan “hidangan politik” yang tidak mempunyai sempadan jelas antara halal, haram dan syubhah.

“Kepada Melayu Islam, sila tepuk dada tanya iman, dan kepada Melayu yang bebas pula, sila tepuk dada tanya selera,” katanya.

Abdul Hadi turut mengkritik Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya berteraskan ideologi liberal sekular, selain mengaitkan pendekatan Malaysia Madani dengan konsep perpaduan agama yang menurutnya bercanggah dengan aqidah Islam.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Islam tidak memaksa penganut agama lain, sebaliknya menerima kewujudan masyarakat majmuk berasaskan keadilan dan kemanusiaan, tetapi tetap berpandukan sempadan aqidah.

Mengulas pengalaman lalu, Abdul Hadi berkata penyertaan PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat sebelum ini adalah atas titik persamaan kemanusiaan, namun perpisahan berlaku apabila timbul pertembungan prinsip berkaitan kenegaraan Islam.

Beliau menegaskan PAS akan terus memilih pendekatan yang menurutnya selari dengan ajaran Rasulullah SAW, iaitu menyatukan umat Islam terlebih dahulu sebelum membina perpaduan dalam masyarakat majmuk tanpa paksaan dalam beragama.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat