KUALA LUMPUR – Pegawai dan anggota polis dinasihatkan untuk tidak sesekali ‘berlindung’ di sebalik pakaian seragam yang dipakai mereka sebaliknya berusaha menjaga imej pasukan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan, banyak perkara baik yang telah dilakukan oleh pasukan polis, namun hanya kerana satu isu di Perak menyebabkan imej pasukan dihukum dengan teruk.
“Pegawai dan anggota PDRM, saya ingatkan sekali lagi supaya jangan berlindung di sebalik uniform, ataupun di sebalik kuasa, ataupun di sebalik batch (lencana).
“Kita sepatutnya menjaga PDRM ni sebaiknya, kita sepatutnya mendapat keyakinan, kepercayaan daripada rakyat untuk menentukan bahawa citra PDRM ini di tempat yang teratas, itu keutamaan kita.
“Kita juga tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada siapa juga pegawai, anggota kita tidak mengira pangkat sekiranya berlakunya kes jenayah, salah laku, tata kelola yang dibuatnya tidak betul, kita akan ambil tindakan,” lapor Utusan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Negeri Sembilan Tahun 2023 di Bandar Sri Sendayan di Seremban, pada Rabu.
Yang turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof.
Pada majlis berkenaan, seramai 210 orang pegawai, pesara polis dan waris pesara dalam kontinjen Negeri Sembilan dianugerahkan PJPN.
Berkata lebih lanjut, Razarudin turut berpesan agar semua pegawai serta anggota polis untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan menerusi Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN).
“Undang-undang yang perlu dipatuhi..kita patuhi, kita tidak akan berkompromi malah kita buka lagi siasatan domestik yang kita panggil kertas siasatan tatatertib.
“Untuk makluman, saya juga telah tandatangan tahan kerja pegawai berpangkat DSP itu, pada petang itu juga,” katanya bagi mengulas mengenai kes pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden (DSP) yang didakwa membunuh pelajar lelaki tingkatan lima di Perak pada 15 Disember lalu.