Kami tak tunggang nama Melayu untuk rembat duit macam Jana Wibawa- Rafizi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menempelak ahli Parlimen pembangkang terutamanya dari Bersatu yang sering bertanya berkenaan agenda ekonomi Bumiputera yang dibawa Kerajaan Perpaduan.

Kata Rafizi beliau faham lenggok pertanyaan mereka, konon untuk menunjukkan mereka membela Melayu.

“Ikut hati, saya ingin jawab mudah sahaja, “Insya-Allah kami tidak akan menunggang nama Melayu untuk beberapa kerat rembat duit Jana Wibawa yang akhirnya di-Ali Baba-kan kepada syarikat bukan Melayu”,” bidas Timbalan Presiden PKR itu dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, semua pentadbiran Kerajaan Persekutuan mengaku ada agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

“Soalnya ialah bagaimana, supaya ia mencapai matlamat dan membawa kebaikan kepada negara keseluruhannya.

“Apa matlamat agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera? Orang lain mungkin melihatnya dari lensa politik semata-mata. Sebagai Menteri Ekonomi, fokus saya ialah meningkatkan sumbangan ekonomi Bumiputera memandangkan jumlah perusahaan Bumiputra adalah besar tetapi sumbangan ekonominya (secara relatif) masih ada jurang,” katanya.

Jelas Rafizi, daripada lebih sejuta entiti perniagaan di negara ini, hanya 3 peratus adalah syarikat-syarikat besar, sementara sekitar 2 peratus adalah syarikat bersaiz sederhana.

“Sekitar 15 peratus adalah syarikat kecil, sementara 80 peratus entiti perniagaan adalah perniagaan mikro.

“Majoriti pemilik entiti perniagaan mikro dan kecil ini (iaitu sekitar 95 peratus dari entiti perniagaan berdaftar) adalah dari kalangan peniaga Bumiputera.

“Oleh itu, usaha menskalakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana agar mereka naik ke takuk lebih atas, dan usaha memperkasakan perniagaan Bumiputera, adalah satu usaha yang bertindih dan boleh digerakkan seiring.

“Sebab itu, pandangan saya, dalam merangka dasar-dasar baru untuk memperkasa ekonomi Bumiputera, kita perlu menggunakan pendekatan-pendekatan baru,” kata beliau.

Menurut beliau lagi, perniagaan Bumiputera mestilah berdaya saing dan boleh berdiri sendiri.

“Program kerajaan perlu berhati-hati untuk mengelakkan pergantungan kepada bantuan kerajaan yang boleh mengikis daya saing.

“Itulah mesej saya kepada penerima-penerima geran bantuan Teraju dalam satu majlis baru-baru ini. Mesej saya kepada perniagaan Bumiputera yang mendapat bantuan agensi kerajaan – fokuskan kepada 3P: “product, problem, people”.

“Hanya perniagaan yang membangunkan produk (atau perkhidmatan) yang menyelesaikan/memenuhi kehendak pelanggan (“problem”) yang akan berdaya tahan dan ada kemampuan untuk diskalakan.

“Hanya perniagaan yang mempunyai bakat yang berkemahiran (“people”) yang mampu membangunkan produk yang memenuhi tuntutan pelanggan,” ulas Rafizi.

Tambahnya, sementara agensi kerajaan terus membangunkan program untuk membantu ekosistem perniagaan Bumiputera, pengusaha Bumiputra pula mestilah membangunkan perniagaan berasaskan 3P yang saya sebut.

“Barulah kita boleh mengelakkan tragedi Jana Wibawa berulang kembali,” tempelak Rafizi.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat