PKPD: Penduduk Taman Meru 2C Tenang, Akur Arahan Untuk Kebaikan

- Advertisement -

IPOH – Penduduk di sekitar Zon B dan Zon C, Taman Meru 2C di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula tengah malam ini kelihatan tenang dan bersedia sepenuhnya demi memastikan penularan COVID-19 dapat dibendung.

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan penduduk memerhati dengan teliti dari kediaman masing-masing anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memasang pagar kawat duri di sekeliling kawasan perumahan mereka pada kira-kira pukul 3 petang tadi.

Seorang warga emas Robakyah Alwi, 63, berkata beliau reda dengan arahan dikeluarkan kerajaan yang menghalang pergerakan keluar dan masuk dalam kalangan penduduk di kawasan itu demi keselamatan dan kesihatan semua pihak.

Ibu kepada lima anak berusia antara 31 hingga 42 tahun itu berkata beliau bersyukur kerana sepanjang tempoh PKPD akan ditemani suami, anak lelaki kedua serta dua cucu perempuan yang tinggal bersamanya.

“Anak-anak yang lain juga selalu mengingatkan saya supaya menjaga diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan terjangkit dengan wabak COVID-19,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Beliau yang mengenakan gelang berwarna merah jambu turut bersyukur kerana hasil ujian calitan ke atasnya dan keluarga adalah negatif namun bimbang sekiranya barangan keperluan dan makanan tidak mencukupi.

Justeru, beliau berharap pihak berkaitan akan menyalurkan barangan keperluan kepada penduduk kawasan berkenaan memandangkan mereka tidak dibenarkan keluar untuk membeli barangan sepanjang tempoh PKPD.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang juga penjawat awam Munawir Shah Badarudin, 56, berkata beliau turut bersyukur kerana ujian calitan ke atas dirinya sekeluarga didapati negatif COVID-19.

“Saya harap penularan wabak di kawasan ini segera pulih kerana sepanjang tempoh PKPD, saya dan isteri Norazila Azizi, 36, yang bekerja di kilang tidak dapat pergi bekerja,” katanya yang mengakui amat takut dengan situasi semasa di kawasan perumahan mereka.

Kerajaan menguatkuasakan PKPD di kedua-dua lokaliti berkenaan yang melibatkan 572 rumah dengan 2,288 penduduk susulan peningkatan kes COVID-19.

Sehingga 16 Nov, sebanyak 938 saringan dilaksanakan di Zon B dan Zon C Taman Meru 2C serta 76 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Pelbagai agensi termasuk polis, Kementerian Kesihatan, Jabatan Kerja Raya turut dilihat sibuk mendirikan khemah dan mengawal situasi sekitar semasa membuat persiapan PKPD di kawasan terlibat petang tadi.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat