Dewan Rakyat: COVID-19 Tumpuan Perbahasan Ahli Parlimen Pada Minggu Ketiga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Pandemik COVID-19 yang masih melanda negara mengubah tema dan tumpuan Ahli Parlimen dalam mengutarakan pandangan masing-masing ketika menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2021 pada sepanjang minggu ketiga.

Simpati dan empati terhadap kebajikan dan kepentingan rakyat dalam mengharungi pendemik itu disentuh hampir dalam setiap topik perbahasan Ahli Parlimen sama ada aspek keselamatan negara, peluang pekerjaan, pendidikan, kos sara hidup, pembangunan projek mega mahupun dalam isu menaik taraf infrastruktur internet.

Walaupun ada yang menyokong belanjawan itu diluluskan dan ada juga yang memberikan sokongan bersyarat, namun kebanyakan Ahli Parlimen yang mengambil bahagian, baik daripada blok kerajaan mahu pun pembangkang, senada dalam menyuarakan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus tanpa mengira penat lelah bagi menangani wabak COVID-19.

Kebanyakan mereka sepakat mencadangkan agar elaun khas turut diberi kepada petugas bukan kesihatan yang juga merupakan petugas barisan hadapan seperti pasukan keselamatan.

Malah, seorang Ahli Parlimen mencadangkan supaya gaji Perdana Menteri, barisan Kabinet dan timbalan menteri, selain Ahli-ahli Parlimen dipotong untuk disalur kepada Tabung COVID-19.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) ketika mengutarakan cadangan itu turut mengesyorkan supaya elaun dan yuran Ahli Parlimen yang menjadi pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dikurangkan sebanyak 50 peratus dan disalurkan kepada tabung sama sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat.

Turut menjadi tumpuan perbahasan minggu ketiga ialah isu pendidikan yang berkisar terhadap isu pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian apabila sekolah-sekolah terpaksa ditutup sehingga tahun depan berikutan gelombang ketiga COVID-19 yang menyaksikan peningkat kes wabak itu.

Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) dan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) berkata ekoran kebanyakan pembelajaran kini diadakan dari rumah, maka penggunaan teknologi dan capaian internet yang maksimum amat diperlukan dan kerajaan harus memberi perhatian serius isu ini.

Teo Nie Ching (PH-Kulai) pula menyuarakan persoalan mengenai pendekatan kerajaan dalam mengatasi jurang digital memandangkan hampir 1.7 juta pelajar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak memiliki peranti sendiri.

Dalam membahaskan isu pendidikan juga, Dr Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) mencadangkan agar kerajaan meneruskan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dalam tempoh penutupan sekolah bagi memastikan murid-murid daripada keluarga miskin dan Orang Kurang Upaya, berterusan menerima makanan berkhasiat.

Masih berkisar dengan pandemik itu, minggu ketiga Dewan Rakyat kali ini turut dimaklumkan perkembangan terkini usaha kerajaan untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddinm kerajaan sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’ bagi menyertai pelan peruntukan vaksin COVID-19 vaccine global access (COVAX), yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi negara ini.

Sesi ini turut menyaksikan pembentangan Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen mengenai transaksi penjualan tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang antara lain mendedahkan sebanyak 97 transaksi dari tahun 2011 tidak merujuk kepada sebarang Prosedur Operasi Standard.

Permulaan hari pertama minggu ini juga dikejutkan dengan berita kematian Ahli Parlimen Gerik Datuk Hasbullah Osman yang meninggal dunia di Raub, Pahang kerana sakit jantung.

Seramai 82 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan peringkat dasar rang undang-undang itu yang berakhir semalam, sebelum sesi penggulungan dijadual bermula Isnin (23 Nov) dengan sesi undian belah bahagian pula pada Khamis.

Belanjawan 2021 dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov dan Ahli-ahli Parlimen mula membahaskannya pada 9 Nov.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat