Pelbagai Inisiatif Bantu Penjaja, Peniaga Kecil Kembali Bangkit Pasca Pandemik – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah melaksanakan pelbagai program serta inisiatif bagi membantu penjaja dan peniaga kecil untuk kembali bangkit dalam fasa pasca pandemik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara program yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi dan persatuan ialah Program Usahawan Muda Kota (UMK) bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda untuk berniaga di lokasi tumpuan dan strategik di ibu kota.

Katanya di bawah program itu, sehingga kini sebanyak 1,252 ruang niaga atau kios telah disediakan dengan reka bentuk moden, kemas, teratur dan bersih.

“Selain itu kerajaan juga memberi pengurangan sehingga 50 peratus sewaan premis, pengecualian sewaan tapak kepada penjaja dan peniaga kecil serta pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan bagi mengurangkan beban akibat pelaksanaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sebelum ini.

“Program Pembiayaan Mikro tanpa faedah berjumlah RM50,000 turut ditawarkan kepada penjaja dan peniaga kecil yang melaksanakan perniagaan secara dalam talian,” katanya dalam ucapan perasmian Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata terdapat juga Program Pendigitalan Penjaja dan Peniaga Kecil melalui Warongku yang membantu golongan itu untuk mendigitalkan perniagaan mereka selaras dengan perubahan perniagaan semasa pasca pandemik.

Beliau juga mencadangkan supaya penjaja, peniaga dan usahawan kecil turut serta memiliki Kad Prihatin Penjaja dan Peniaga In2NIAGA bagi membolehkan peniaga serta pembantu mereka menikmati kelebihan yang ditawarkan oleh platform In2NIAGA.

Inisiatif IN2NIAGA merupakan kerjasama antara persatuan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan AEON bagi memastikan pengusaha serta pekerja dilindungi oleh insurans mampu milik melalui Perkeso dan menikmati kelebihan lain melalui kolaborasi strategik IN2NIAGA.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan beliau bersetuju menjadi penaung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia.

Ismail Sabri berkata sebagai penaung, beliau akan kerap berjumpa dengan semua persatuan penjaja seluruh negara dan memberi bantuan sewajarnya kepada mereka.

“Penjaja sentiasa dekat di hati saya. Saya juga pernah jadi penjaja, waktu saya sekolah rendah dahulu saya menjual limau, jual ikan di pasar mini pekan Temerloh. Jadi apa yang penjaja bangkitkan saya faham sebab saya pernah jadi penjaja. Apa yang penjaja rasa saya dah lalui dahulu, jadi apa yang penjaja mohon pasti saya akan luluskan, jangan bimbang.

“Saya cuma minta kalau saya minta bantuan, tolong bantu nanti. Warga penjaja akan guna hak mereka pada 19 Nov (hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15) nanti dengan memberi kepercayaan kepada parti yang boleh membantu dan membela nasib penjaja,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata sekiranya kerajaan Keluarga Malaysia mendapat semula mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15, geran sekali beri RM1,000 kepada semua syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdaftar merupakan antara perkara yang akan diteruskan seperi diumumkan dalam Bajet 2023.

Beliau berkata Bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini adalah responsif dalam menyokong aktiviti perniagaan khususnya sektor PMKS. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat