PRN Melaka: Siapa Rakan Kerjasama UMNO?

- Advertisement -

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 20 November depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 8 November, manakala pengundian awal ialah pada 16 November.

Namun sehingga kini, UMNO masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan PRN Melaka pada November depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan rasmi itu akan diumumkan apabila mesyuarat biro politik dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diikuti Mesyuarat Tertinggi Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan pada minggu depan ataupun diputuskan sebelum hari penamaan calon.

Dalam pada itu, Pas menegaskan bahawa pendirian parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) tidak berubah walaupun Presiden UMNO, Ahmad Zahid menyatakan tiada kerjasama politik antara kedua-dua parti itu pada PRN Melaka nanti.

Menurut laporan portal PNBBC pada Selasa, Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, setakat ini tiada keputusan rasmi daripada MKT UMNO berhubung perkara tersebut.

“Setakat hari ini, keputusan daripada MKT tidak ada pun sebut begitu (tiada MN pada PRN Melaka). Jadi, kita pakai keputusan rasmi itu. Jangan memecah belahkan kami,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan semua ahli parti di semua peringkat supaya tidak membuat tindakan mengikut kepala sendiri.

Sebaliknya beliau berkata, sebarang tindakan perlu mengikut arahan setiausaha agung parti dan seterusnya diturunkan kepada semua setiausaha negeri, kawasan sehinggalah ke cawangan.

Selain itu, parti-parti di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi kerajaan hari ini perlu ada kesepakatan serta gabungan mantap bagi memenangi PRN Melaka.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, sejarah menunjukkan pertandingan tiga penjuru memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, DPIM juga berharap PRN Melaka dapat menyuburkan proses demokrasi negara supaya rakyat dapat menyuarakan keluh kesah dan denyut nadi mereka.
Selain itu, beliau berharap PRN ini tidak akan mencemarkan sistem demokrasi negara seterusnya menghina rakyat dengan situasi ‘katak melompat-lompat’ seperti keadaan politik hari ini.

Turut mengadakan pertemuan, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan pemimpin Pas di Melaka.

Perkara itu dikongsikan oleh Hamzah dalam satu pertemuan di sebuah kedai makan yang dihadiri oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Pertemuan itu dipercayai berhubung PRN Melaka yang akan berlangsung pada 20 November depan.

-Sinar Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,585FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat