KUALA LUMPUR, – Majlis Perundingan Melayu (MPM) tampil menggesa kerajaan supaya mengkaji semula kaedah pembangunan Kampung Sungai Baru, sambil memberi amaran keras bahawa Rang Undang-undang Pembangunan Semula Bandar (RUU PSB) yang bakal dibentangkan di Parlimen tidak wajar diluluskan.
Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hasan Mad menegaskan, episod pengusiran penduduk pada 11 September lalu menjadi bukti jelas bagaimana institusi negara gagal mempertahankan maruah, kedaulatan dan kepentingan bangsa Melayu.
“Kelompok kecil yang menolak pemindahan itu bukan sekadar degil seperti digambarkan, tetapi merekalah yang mempertahankan hak dan maruah mereka. Malangnya, suara kecil ini dihentam, dicemuh, dan diketepikan hanya kerana majoriti memilih pembangunan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Menurut Hasan, kegagalan institusi negara daripada legislatif, eksekutif, judisiari hingga pihak penguatkuasaan yang bersikap “membutakan mata dan hati” atas nama pembangunan telah menimbulkan kekecewaan rakyat.
“Jika RUU PSB ini diluluskan, jangan harap institusi-institusi itu akan berpihak kepada orang Melayu walaupun hanya sekangkang tanah yang mereka miliki. Rakyat akan merasakan hak mereka tidak lagi dilindungi,” tegas beliau.
Beliau menempelak tindakan kerajaan yang memberi laluan kepada pemaju asing menguasai projek mega di tengah ibu kota, sedangkan pemaju tempatan khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) wajar tampil dengan tawaran alternatif.
“Kita ada UDA Holdings, kita ada PHB, kita ada UEM Sunrise. Tetapi semua membisu. Jika modal menjadi penghalang, nescaya seluruh bangsa Melayu pun akan ghairah melabur demi melihat Kampung Baru membangun tanpa perlu bergantung kepada asing,” katanya.
Hasan turut mengingatkan bahawa bangsa Melayu pernah membuktikan kemampuan luar biasa melalui kejayaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam episod bersejarah “the dawn raid” di London.
“Kalau dulu kita boleh mengejutkan dunia, mengapa hari ini kita tidak mampu mengejutkan negara dengan model pembangunan Kampung Baru yang lebih adil, bersepadu dan menjaga maruah penduduk asalnya?” soal beliau.
Hasan juga menyifatkan projek Sungai Baru kini dijadikan “kambing hitam” untuk meloloskan RUU PSB.
“Jelas sekali motif kerajaan cuba membentangkan rang undang-undang ini hanya untuk mengabsahkan kelemahan mereka sendiri. Ia langkah songsang yang hanya menambah kecurigaan rakyat terhadap integriti kerajaan,” katanya lagi.
Titah Sultan Selangor pengingat penting
Mengulas titah Sultan Selangor pada 18 September lalu yang mengingatkan agar isu Sungai Baru ditangani secara berhemah, MPM menegaskan ia adalah isyarat jelas tanpa perlu Baginda menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Titah Tuanku harus dijunjung. Semua pihak legislatif, eksekutif, judisiari, dan pasukan keselamatan mesti bertindak bijaksana, mengutamakan maruah dan kedaulatan walaupun hanya melibatkan kelompok minoriti,” ujar Hasan.
MPM juga mengingatkan agar penduduk Kampung Sungai Baru tidak mengulangi nasib warga Kampung Kerinchi, yang akhirnya hanya menjadi “penduduk pinggiran” kepada Bangsar South yang serba moden.
“Episod Sungai Baru ini perlu jadi pengajaran agar bangsa Melayu tidak terjerat dengan janji-janji pembangunan yang akhirnya menyingkirkan mereka dari tanah asal,” katanya.
Sebagai penutup, Hasan menyeru agar Majlis Raja-Raja Melayu dalam sidang akan datang membincangkan pewartaan Wasiat Raja-Raja Melayu.
“Dengan pewartaan itu, semua peruntukan wajib dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan sebagai benteng terakhir mempertahankan hak dan kedaulatan bangsa. Inilah harapan kami,” kata kandungan kenyataan media tersebut sambil menjunjung kasih kepada titah Baginda Sultan Selangor. – SUARA.TV



