KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya tuding-menuding antara satu sama lain.
Menurut Timbalan Ketua Penerangan PKR, Chua Wei Kiat, dua pemimpin tidak perlu saling menyalahkan kerana kedua-duanya sama-sama gagal menguruskan negara.
“Bagi saya perkara ini sangat senang, mereka tak perlu saling menuduh sebab mereka adalah ikon gagal Malaysia,” katanya lapor Malaysiakini.
Selain itu, Chua yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata, selepas Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau gagal mengawal negara ketika diancam Covid-19.
Malah, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu juga didakwa mengumumkan darurat di seluruh negara kerana ingin kekal berkuasa sebelum akhirnya melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.
Tambahnya lagi, semasa Malaysia ditadbir Muhyiddin dan PN, negara berada pada zaman demokrasi paling gelap dalam sejarah.
“Kerajaan BN pimpinan Ismail Sabri sekarang pula mengalami ketempangan.
“Kegagalan yang jelas dapat dilihat apabila Ismail Sabri gagal menguruskan isu nilai mata wang, pertelingkahan dalaman UMNO dan skandal seperti kapal tempur pesisir (LCS).
“Gandingan Ismail Sabri dan Menteri Kewangan Tengku (Datuk Seri) Zafrul Abdul Aziz menyebabkan nilai ringgit terus jatuh ke paras paling rendah menyebabkan nilai mata wang terus jatuh ke paras terendah.
“Kegagalan yang jelas dan seluruh rakyat terkesan adalah kejatuhan nilai Ringgit sehingga RM4.50 kepada satu Dolar Amerika (USD). Tetapi Tengku Zafrul rasa bangga dan gembira kononnya kejatuhan ringgit baik untuk pengeksport negara mencari keuntungan,” dakwanya.
Tambah Chua lagi, keadaan bertambah malang apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi gigih mengusahakan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU ke-15) diadakan walaupun semasa musim tengkujuh.
“Orang ramai akan bersetuju 100 peratus jika Ismail Sabri dan Muhyiddin dinobatkan sebagai ikon gagal Malaysia,” katanya lagi.
Muhyiddin semalam menganggap Ismail gagal sebagai Perdana Menteri apabila masalah ekonomi negara terus memburuk.
Ekoran itu,Muhyiddin kata, mungkin ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal agar sebuah kerajaan baru yang lebih cekap dan “bebas rasuah” dapat dipilih rakyat.
Beberapa jam kemudian Ismail mengeluarkan kenyataan membidas Muhyiddin dan menganggap tindakan Ahli Parlimen Pagoh itu sebenarnya mengata partinya sendiri, parti Bersatu.
Menurut naib presiden UMNO berkenaan, jika Muhyiddin menganggap kerajaan sekarang gagal, Bersatu turut menyumbang kepada kemelut tersebut kerana kabinet yang ada kini turut dianggotai wakil dari parti berkenaan.
Malah portfolio hal ehwal ekonomi kini disandang Datuk Seri Mustapa Mohamed, iaitu Ahli Parlimen Bersatu.
Ismail juga mengingatkan Muhyiddin bahawa beliau juga dianggap gagal kerana merupakan pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).