‘Insomniacks masih laku’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Memiliki cita-cita tinggi dalam industri muzik, kumpulan Insomniacks bukan sahaja ingin mempertaruhkan genre muzik dibawa, malah berhasrat mengetengahkan bakat sebagai komposer dan penulis lirik.

Tanpa disedari, sudah enam tahun pembabitan Insomniacks yang dianggotai Iqie selaku vokalis dan gitar utama, Iskandar (pemain bes), Danial (gitar ritma) dan Gavin (dram).

Sebelum ini, empat anak muda bernaung di bawah syarikat rakaman Sony Music, namun disambar Universal Music selepas kontrak tamat pada Mac lalu, selepas empat tahun bersama.

Dalam tempoh itu, Insomniacks menghasilkan dua single dan satu EP yang memuatkan lima lagu.

“Sejujurnya, kami bangga dan melihat lamaran Universal Music sebagai satu penghormatan besar. Tambahan pula, kami percaya pada kredibiliti dan pengalaman yang dimiliki dalam menguruskan ramai artis popular.

“Dalam masa sama, tawaran datang bersama pelbagai perancangan menarik demi masa depan Insomniacks. Jadi, kami berasakan kolaborasi ini bagus untuk penjenamaan dan kerjaya muzik untuk masa depan.

“Paling penting, Universal Music membuka peluang menghasilkan karya sendiri,” kata Iskandar kepada BH Online.

Iskandar berkata, kontrak itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Sebagai permulaan, merancang melancarkan tiga single sebelum penghujung tahun ini.

“Sebaik menandatangani kontrak bersama Universal Music, kerajaan melaksanakan Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN). Jadi, banyak perancangan tergendala.

“Sebaik aktiviti seni dan hiburan dibenarkan beroperasi kembali, kami merancang mahu melancarkan sekurang-kurangnya tiga single sebelum penghujung tahun ini.

“Ia terdiri dua lagu, Pulang dan Reminisensi diberi nafas baharu, sebelum menyusul single baharu. Hala tuju muzik untuk single baharu tidak banyak beza dengan kebanyakan single yang pernah didendangkan.

“Cuma, dari segi bunyi mungkin ada kelainan kerana kami mahu muzik lebih matang. Insomniacks tetap mengetengahkan genre muzik rock demi kepuasan berkarya,” katanya.

Insomniacks yang terdiri daripada anak muda 24 tahun itu adalah kawan baik. Jadi, tidak hairanlah jika aliran muzik dan keserasian dalam berkarya cukup ‘hidup’.

“Kami selesa mencipta dan menulis lagu sendiri. Kami seronok dapat berkarya bersama. Tetapi, kami terbuka untuk bekerjasama dengan komposer lain.

“Sebelum ini, kami pernah bekerjasama dengan Faizal Tahir. Bagaimanapun, Universal Music memberi peluang kepada kami menghasilkan karya kerana tahu minat kami dalam penulisan lagu.

“Pada masa sama, kami faham keperluan untuk mencari lagu yang lebih komersial. Jadi, kami tiada masalah untuk mencuba, asalkan ia terbaik buat Insomniacks.

“Kebanyakan karya dihasilkan berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan. Cuma, ada sedikit elemen fantasi supaya ia lebih menarik untuk disampaikan,” katanya.

 

Lamaran Universal Music sebagai satu penghormatan besar buat Insomniacks selepas kontrak bersama Sony Music tamat. - Foto Universal Music
Lamaran Universal Music sebagai satu penghormatan besar buat Insomniacks selepas kontrak bersama Sony Music tamat. – Foto Universal Music

 

Terdahulu, single Pulang pernah menjadi juara carta RIM selama 146 minggu.

Iskandar berkata, Insomniacks mahu membawa muzik dan memperkenalkan jenama menerusi siri jelajah seluruh negara yang menjadi sasaran sejak dahulu lagi.

Buat masa ini, katanya, Insomniacks mendekati peminat dengan siaran secara langsung, setiap Jumaat di laman YouTube selain mewujudkan kumpulan di aplikasi Telegram, Maniacks.

Sementara itu, Pengarah A&R & Pemasaran Universal Music, Hermond Cheng berkata, Insomniacks adalah sebuah band yang unik.

“Antara sebab mengikat Insomniacks bernaung di bawah Universal Music kerana mereka memiliki keaslian, kesungguhan dan dedikasi terhadap muzik.

“Insomniacks mempunyai ciri-ciri yang dicari. Jadi, sudah pasti kami mempunyai perancangan yang disusun untuk mereka.

“Berbekalkan bakat besar dalam menghasilkan lagu, kami percaya ia akan membawa kerjaya Insomniacks pergi lebih jauh dan menjadi band terkenal,” katanya.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat