KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,191 insiden gangguan perkhidmatan telekomunikasi dilaporkan di Sabah bagi tempoh Jun 2025 hingga Jun 2026 melibatkan 257 tapak telekomunikasi di 23 daerah dengan anggaran kerugian kira-kira RM17.3 juta akibat vandalisme, kerosakan dan kecurian komponen.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini berkata satu kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Sabah, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, agensi utiliti dan industri untuk memutuskan rantaian kegiatan vandalisme dan kecurian berkenaan.
“Pendekatan ini penting kerana vandalisme telekomunikasi bukan sekadar menyebabkan kerosakan aset, malah boleh mengganggu perkhidmatan yang menjadi keperluan harian rakyat termasuk komunikasi, pendidikan, perniagaan, penyampaian perkhidmatan kerajaan serta komunikasi ketika kecemasan.
“Kos pemulihan turut menyebabkan sumber yang sepatutnya digunakan untuk memperluaskan liputan dan meningkatkan kualiti rangkaian terpaksa disalurkan bagi membaiki atau menggantikan infrastruktur yang rosak,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, gangguan ini bukan sahaja menjejaskan capaian komunikasi penduduk setempat tetapi mengganggu akses perkhidmatan digital.
MCMC berkata usaha membanteras kegiatan tersebut perlu melangkaui tindakan di lokasi kejadian dengan memberi tumpuan kepada perkongsian maklumat dan risikan, pemantauan dan pengesanan modus operandi termasuk rangkaian jual beli komponen yang disyaki curi.
“Dari sudut perundangan, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan bahawa perbuatan mengusik, mengalihkan, memusnahkan atau merosakkan kemudahan rangkaian atau mana-mana bahagiannya merupakan suatu kesalahan.
“Jika sabit kesalahan, pelaku boleh didenda sehingga RM500,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
MCMC menyatakan usaha tersebut turut diperkukuh menerusi Program Taklimat “Memutuskan Rantaian Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi: Dari Tapak ke Pasaran” yang dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.
“MCMC akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah, agensi penguatkuasaan, pihak berkuasa tempatan, industri dan masyarakat bagi memperkukuh perlindungan infrastruktur telekomunikasi sebagai aset strategik negara,” katanya.
Katanya, memutuskan rantaian kegiatan vandalisme dan kecurian dari tapak hingga ke pasaran adalah penting bagi memastikan rangkaian komunikasi kekal berfungsi.


