CYBERJAYA — Janji kerajaan negeri Kedah untuk membawa masuk pelaburan mega terus dipersoalkan selepas sebuah syarikat dari Korea Selatan mengumumkan menarik diri daripada projek LRT Langkawi.
Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata rakyat di negeri ini sudah muak dengan pengumuman besar yang tidak menjadi kenyataan.
Bercakap kepada Suara TV, Mahdzir menambah, kegagalan projek mega ini menjejaskan keyakinan pelabur terhadap Kedah dan menekan rakyat yang terpaksa menanggung cukai dan tarif lebih tinggi.
“Sekarang ini, isu terbaru di Kedah adalah apabila sebuah syarikat dari Korea Selatan telah mengumumkan untuk menarik diri daripada satu projek yang kononnya mahu membangunkan LRT di Langkawi. Syarikat itu sendiri yang membuat pengumuman tersebut.
“Kemudian, Haim Helman, Exco Pelaburan Kerajaan Negeri, buat kenyataan dua atau tiga hari lepas bahawa cerita berkaitan pelaburan ini sebenarnya bukan di bawah urusan kerajaan negeri sepenuhnya,” katanya.
Beliau menjelaskan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini berulang kali mendakwa terdapat minat pelabur terhadap projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), namun selepas lebih dua tahun, masih belum ada satu pun pelaburan rasmi ditandatangani.
Selain itu tambahnya projek pelabuhan Sanglang yang digambarkan mampu menampung kapal gergasi dan menjadi hab dagangan dari Thailand juga tidak menunjukkan sebarang perkembangan, walaupun diumumkan sejak dua tahun lalu sebagai pelaburan strategik negeri.
“Sebelum ini, Sanusi sendiri, Yang Berhormat Menteri Besar Kedah, beria-ia mahu bercakap tentang pelabur untuk projek KXP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
“Namun, sehingga hari ini saya rasa masih belum ada mana-mana pelabur yang menandatangani komitmen pelaburan untuk lapangan terbang tersebut.
“Selepas itu, datang pula isu projek LRT ini, sama juga keadaannya. Kemudian diumumkan lagi mengenai pelaburan di Sanglang. Pelaburan Sanglang itu pun, saya ingat sudah dua tahun diumumkan sebagai satu projek besar. Katanya akan dibina pelabuhan dua hingga tiga kilometer ke dalam laut supaya kapal-kapal besar seperti VLCC boleh berlabuh, turunkan barang dari Thailand melalui Bukit Kayu Hitam ke Sanglang.
“Dari situ ia akan dipindahkan melalui jalan darat dipanggil jalan darat Songkla-Sanglang. Maknanya, Songkla di pantai timur, Sanglang di pantai barat, dan setakat ini saya lihat masih belum ada sebarang pelan konkrit,” tambahnya.
Sebaliknya, Mahdzir berkata langkah paling ketara yang diambil kerajaan negeri setakat ini hanyalah menaikkan cukai premium tanah sehingga mencecah 20 peratus.
Mahdzir menegaskan kegagalan berterusan ini menunjukkan pentadbiran negeri hanya pandai bermain politik, bukan bekerja untuk rakyat.
“Jadi, saya fikir, selepas lebih dua tahun sejak Pilihan Raya Negeri, setakat ini pencapaian paling nyata kerajaan negeri hanyalah menaikkan cukai premium tanah. Kenaikan itu bukan kecil bukan 1% atau 2% malah boleh jadi sehingga 20%. Saya sendiri pernah lihat dokumen dari Jabatan Tanah.
“Contohnya, satu ekar tanah apabila dijadikan geran, bayarannya sangat tinggi. Kalau ada 7 atau 8 ekar, darablah dengan ribuan ringgit.
Malah ada dokumen yang ditunjukkan kepada saya, ditulis dalam unit ‘relung’ (lebih kecil sedikit daripada ekar). Premium yang dikenakan mencecah RM115,000 itu pun untuk tanah kampung, bukan tanah industri,” jelasnya.
Beliau turut membidas program Rumah Sejahtera yang hanya menawarkan tanah lot kepada rakyat miskin tanpa rumah siap.
“Yang disebut-sebut hanyalah projek “Rumah Sejahtera”. Itupun bukan rumah siap, sebaliknya hanya diberikan tanah lot kononnya untuk golongan miskin bina rumah sendiri.
“Masalahnya, orang miskin yang diberi tanah itu belum tentu mampu membina rumah di atas lot tersebut. Malah, percubaan sudah dibuat di Bedong dan Terap, tetapi tidak berjalan lancar.
“Kalau betul mahu bantu rakyat, bina rumah siap dan serah kepada mereka. Apa gunanya bagi tanah sedangkan mereka tidak mampu pun membina rumah?” soal Mahdzir.



