Oleh Zihan Zari
PETALING JAYA – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan pelantikan rasmi Amir Hamdan sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (PGCEO), berkuatkuasa 15 Ogos 2025.
Prasarana dalam kenyataannya memaklumkan, pelantikan ini menyusuli pengumuman pada 1 Julai lalu mengenai pelantikan Amir sebagai Pemangku PGCEO.
Ia sejajar dengan komitmen Prasarana dalam memastikan kesinambungan kepimpinan dan kelangsungan operasi syarikat dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang selamat, cekap dan berdaya saing.
Jelasnya, Amir menyertai Prasarana pada 2019 dan mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, operasi serta strategi korporat.
“Beliau sebelum ini telah memegang beberapa jawatan penting di dalam Prasarana termasuk sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, serta Timbalan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya di Prasarana, terutama sekali ketika meneraju Rapid Rail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Amir telah memacu pelbagai inisiatif penambahbaikan yang menyumbang kepada peningkatan kecekapan operasi dan kebolehpercayaan perkhidmatan rel kendalian Prasarana, ”jelas kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, Pengerusi Prasarana, Tan Sri Mohd Nasir Ahmad berkata, pelantikan rasmi Amir Hamdan sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana adalah hasil daripada prestasi cemerlang beliau dan juga sumbangan signifikan beliau sejak menyertai Prasarana.
Menurut beliau, kepimpinan Amir yang tenang, berwibawa dan berteraskan Budaya Tatakerja syarikat telah membuktikan kemampuannya untuk membawa Kumpulan Prasarana ke hadapan.
Katanya, pihak Lembaga Pengarah yakin bahawa beliau akan terus memacu organisasi ini ke arah pencapaian yang lebih tinggi, selaras dengan matlamat nasional untuk memperkukuh sistem pengangkutan awam negara.
“Pelantikan Amir mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan dan pengalaman beliau dalam menerajui Prasarana ke arah mencapai visi “Memajukan Mobiliti, Memperkaya Pengalaman”.
“Selain itu, menyokong aspirasi Kerajaan dalam meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam kepada 40% (peratus) menjelang 2030,”ujarnya.
Pada masa yang sama, Amir ketika mengulas mengenai pelantikannya itu, amat bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan untuk memikul tanggungjawab besar ini. Ia adalah satu amanah yang beliau terima dengan penuh rasa rendah hati.
“Dengan sokongan seluruh warga kerja Prasarana, saya bertekad untuk terus memperkukuh sistem pengangkutan awam negara melalui pendekatan yang inklusif, berdaya saing dan berteraskan rakyat.
“Saya percaya, dengan semangat kerjasama dan komitmen bersama, kita mampu membawa Prasarana ke tahap yang lebih cemerlang demi manfaat masyarakat dan negara, ”ulasnya lagi. – SUARA.TV



