Selepas ribuan penonton hanyut dalam lautan emosi bersama Tulus pada siang hingga petang, suasana Megastar Arena kembali bergemuruh apabila Ruang Inspirasi Fest (RIF) diteruskan ke Babak 2 pada sebelah malam. Kali ini giliran band pop romantis asal Bandung, Juicy Luicy, yang mengambil alih pentas untuk menyuntik energi dan warna berbeza. Kehadiran mereka disambut penuh sorakan peminat yang sudah lama menantikan peluang bertemu secara langsung dengan band kesayangan ini di Kuala Lumpur.
Babak kedua RIF dibuka dengan penuh gaya oleh penyanyi Malaysia, Aizat Amdan. Dengan vokal matang yang sudah tidak asing lagi, Aizat menghangatkan malam dengan deretan lagu hitsnya termasuk Jerrypah, Susun Silang Kata, Sendiri Aku OK, Sampai Ke Hari Tua, Pergi, Sungai Lui, Lagu Kita, dan ditutup dengan lagu ikoniknya, Hanya Kau Yang Mampu.
Persembahan Aizat bukan sahaja menjadi pemanasan yang sempurna, tetapi juga membangkitkan rasa bangga penonton tempatan apabila artis Malaysia turut diberi ruang di festival muzik bertaraf serantau ini.
Selepas tirai pembuka, arena sekali lagi dikejutkan dengan sorakan memecah udara apabila enam anak muda asal Bandung ini tampil ke pentas. Juicy Luicy, yang terkenal dengan lagu-lagu cinta penuh emosi, membuka persembahan mereka dengan Malapetaka, sebuah lagu yang terus membuat penonton bersorak dan ikut bernyanyi dari bait pertama.
Energi band ini semakin memuncak ketika Terlalu Tinggi dan Bukan Orangnya dimainkan. Penonton seolah larut dalam cerita-cerita cinta yang penuh luka dan getir, namun tetap dinyanyikan dengan semangat dan kebersamaan. Juicy Luicy membuktikan bahawa lagu mereka bukan sekadar muzik, tetapi narasi kehidupan yang dekat dengan pengalaman ramai orang.
Malam semakin hangat ketika medley Mawar Jingga, Hahaha Asing, dan Sayangnya dimainkan. Penonton bernyanyi tanpa henti, menyatukan suara mereka dengan band di atas pentas. Keakraban itu terasa begitu istimewa – seolah Juicy Luicy bukan sekadar menghibur, tetapi benar-benar berkongsi cerita dengan ribuan penggemarnya.
Deretan lagu lain seperti Tanggung Jawab, Lampu Kuning, dan Lantas semakin menghidupkan suasana. Setiap lirik yang dilantunkan mengundang sorakan dan nyanyian serentak, menjadikan malam itu terasa sangat intim meskipun arena dipenuhi ribuan orang.
Salah satu momen puncak terjadi saat Tampar dan Sialan dimainkan. Dua lagu penuh emosi ini menggema kuat di seluruh Megastar Arena, membuat penonton meluahkan perasaan mereka tanpa segan. Sorakan, tepukan, bahkan ada yang menitiskan air mata semua bercampur menjadi sebuah pengalaman kolektif yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Juicy Luicy menutup babak kedua RIF dengan gaya mereka yang khas penuh perasaan, penuh energi, dan penuh kejujuran. Vokal emosional yang dipadu dengan alunan muzik pop modern membuat setiap lagu terasa jujur dan dekat di hati.
Jika babak pertama bersama Tulus dipenuhi nuansa puitis dan penghayatan mendalam, maka babak kedua bersama Juicy Luicy menghadirkan letusan energi, perasaan jujur, dan kebersamaan yang luar biasa. Dua persembahan ini melengkapkan satu sama lain, menjadikan Ruang Inspirasi Fest pada 17 Ogos lepas sebagai sebuah festival muzik yang benar-benar menghadirkan ruang inspirasi ruang di mana artis dan peminat berpadu tanpa batas, merayakan cinta, kehilangan, dan harapan melalui muzik.
Dengan berakhirnya Babak 2, tirai RIF di Kuala Lumpur ditutup dengan kenangan indah yang akan melekat lama di hati para penonton. Satu hari penuh muzik, satu hari penuh cerita, dan satu hari penuh inspirasi.



