KUANTAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, UMNO Pahang menyokong penuh titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu pihak Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memperlekeh dan mempertikai tugas Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Tegas Wan Rosdy, tindakan Muhyiddin Tan Sri Muhyiddin itu merupakan satu tindakan yang sangat biadab, menghina Institusi Diraja semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri beberapa hari lepas.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang berpandangan, tindakan Tan Sri Muhyiddin itu merupakan satu tindakan yang sangat biadab, menghina Institusi Diraja serta mempertikaikan kewibawaan Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku dalam menyelesaikan kemelut politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15, terutamanya dalam isu pelantikan Perdana Menteri pada ketika itu.
“Seperti mana kemurkaan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, kami juga turut merasa marah dan tersinggung dengan kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang boleh disifatkan sebagai berniat jahat dan cuba menghasut rakyat untuk hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat.
“Selain itu, kenyataan Tan Sri Muhyiddin juga telah menimbulkan suasana yang tidak harmoni serta menggores perasaan kami yang sentiasa menjunjung tinggi kedaulatan Sultan Pahang serta Institusi Diraja Pahang,” kata Wan Rosdy menerusi kenyataan Facebooknya.
Kata Wan Rosdy lagi, Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang menyeru seluruh rakyat di negara ini, terutamanya rakyat di negeri Pahang agar terus menzahirkan taat setia dan mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu serta berpegang teguh Prinsip Rukun Negara.
Terdahulu media melaporkan, Muhyiddin secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Susulan itu, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi PN itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum)
Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.