KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Lee Chin Chen menggesa gelaran Tan Sri yang dianugerahkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditarik balik.
Chin Chen berkata, ini kerana kenyataan terbaru Muhyiddin yang mendakwa bahawa ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Kelantan adalah berasaskan fakta dan tidak bersalah dalam menuduh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak melantiknya sebagai Perdana Menteri.
Katanya, walaupun kononnya mempunyai majoriti yang mencukupi adalah satu lagi kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan mengelirukan orang ramai.
“Kenyataan Muhyiddin bukan saja mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong tetapi juga cuba menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Sebagai seorang pemimpin yang pernah memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan, Muhyiddin seharusnya menunjukkan teladan yang baik dan mematuhi prinsip-prinsip perlembagaan.
“Malangnya, beliau memilih untuk menyebarkan maklumat yang salah dan mengelirukan, sekaligus membuktikan bahawa beliau tidak layak memegang gelaran tertinggi negara,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa lapor Harian Metro di Kuantan.
Chin Chen yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkata, tindakan Muhyiddin bukan saja mencemar institusi diraja tetapi juga berpotensi menghancurkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi berperlembagaan yang kita amalkan.
“Saya menggesa agar gelaran Tan Sri beliau ditarik balik sebagai satu tindakan tegas untuk mempertahankan maruah dan kedaulatan negara kita.
“Sebagai rakyat Malaysia yang menghormati Perlembagaan dan institusi diraja, kita tidak boleh berdiam diri apabila pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh teladan mengambil tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara.
“Gelaran Tan Sri adalah satu penghormatan yang tinggi dan ia hanya layak diberikan kepada mereka yang benar-benar menjunjung nilai-nilai yang mulia dan menghormati asas-asas kenegaraan kita,” katanya.